Tengku Maimun laksanakan tanggungjawab dengan baik- Mustaffa

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI – Apa jua keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib perlu diterima dan dihormati.

Pendokong Parti Warisan Malaysia, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah menjalankan tugas dengan baik sekalipun keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib sukar diterima penyokong dan pro Najib.

“Tengku Maimun telah mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap undang -undang dan kehakiman negara.

“Sebagai rakyat, kita perlu hormati sistem perundangan negara selagi mana tiada bukti menunjukkan sistem kehakiman kita terpalit dengan korupsi atau kebocoran intergriti,”katanya kepada pemberita hari ini, mengulas isu hukuman penjara Najib Razak.

Beliau berkata, beliau mewakili rakyat Malaysia yang cintakan negara mengucapkan tahniah di atas tanggungjawab yang dijalankan dengan baik.

“Walaupun dikecam, tetapi beliau tetap laksanakan tanggungjawab dengan lancar.

“Kita berharap beliau mengendahkan sahaja kritikan yang telah diperkatakan oleh individu dan pihak tertentu.

“Beliau perlu teruskan amanah dengan menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas tanpa memandang latar belakang sesiapa untuk jatuhkan hukuman sekiranya terbukti bersalah,”katanya.

Sementara itu, Mustaffa berkata, Warisan komited untuk membersihkan negara ini daripada gejala dan anasir rasuah sekiranya diberikan mandat sebagai kerajaan pada PRU-15 akan datang.

“Inilah janji dan hasrat kita jika mentadbir negara selepas PRU-15.

“Di bawah kepimpinan Presiden Warisan iaitu Datuk Seri Shafie Apdal, saya yakin Malaysia akan mempunyai model dan konsep lebih baik dalam membanteras dan menghapuskan rasuah.

“Rasuah menjadi musuh utama dan barah kepada negara. Jika dibiarkan seluruh negara dan seluruh rakyat akan sengsara,”katanya.

Hukuman ke atas Najib dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 23 Ogos lalu setelah mendapati beliau bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.