Tengah “syok” kena serbu imigresen

KUALA- LUMPUR-Sebuah restoran yang terkenal dengan gelaran ‘kedai kopi korek’ dan sebuah rumah urut terkenal dengan gelaran ‘happy ending massage’ diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dilakukan pada malam 31 Januari dan awal pagi 1 Februari lalu.

Menurutnya, seramai 17 orang pegawai imigresen terlibat dalam operasi ini.

“Dalam kedua-dua operasi ini seramai 37 warga asing dan dua warga tempatan telah berjaya ditahan,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, operasi fasa pertama telah dijalankan pada jam 11.30 malam di sebuah restoran ‘kedai kopi korek’ yang terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

“Premis tersebut menawarkan perkhidmatan pelayan pelanggan (GRO) dan aktiviti kalungan bunga sebagai taktik tarikan pelanggan untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Seramai 88 orang telah diperiksa dan hasilnya JIM telah berjaya menahan seramai 26 orang wanita pelbagai warganegara yang terdiri daripada 19 orang wanita warga China, Indonesia (4), Myanmar (2) dan seorang wanita Thailand yang bekerja sebagai GRO, penari, penyanyi dan juga pekerja premis tersebut,”katanya.

Selain itu katanya, seramai lima lelaki  pekerja premis terdiri daripada tiga warga Bangladesh dan dua warga Myanmar turut ditahan.

Beliau berkata, minum dan makan sambil ditemani wanita-wanita berkenaan merupakan modus operandi digunakan premis tersebut.

“Pada masa yang sama, wanita warga asing ini juga akan membuat persembahan di pentas dan pelanggan-pelanggan akan didekati oleh ‘mummy’ untuk memberikan kalung bunga sebagai ‘tips’.

“Kalung bunga yang berharga dari RM50 hingga RM100 akan dihadiahkan oleh pelanggan kepada wanita yang mereka suka,”katanya.

Menurutnya, operasi fasa seterusnya dijalankan pada jam 2.30 pagi di sebuah rumah urut yang menawarkan pakej penuh iaitu pakej seks di kawasan Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Premis ini menawarkan perkhidmatan seks dengan harga RM178 hingga RM188 bagi tempoh masa langganan selama 45 minit.

“Terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita warganegara asing semasa pemeriksaan dijalankan tetapi cubaan tersebut telah digagalkan oleh anggota serbuan yang membuat kepungan awal di sekitar premis,”katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, JIM berjaya menahan seramai enam orang wanita warga asing yang terdiri daripada lima orang wanita Vietnam dan seorang wanita Indonesia.

“Turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan penyelia, juruwang dan juga penjaga bagi wanita-wanita warganegara asing di premis tersebut,”katanya.

Tambahnya, sebanyak 14 notis untuk hadir memberi keterangan (Saman Saksi) dikeluarkan kepada pekerja dan pelanggan di kedua-dua lokasi bagi membantu siasatan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan akan di tempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.