Malaysia muncul johan Piala Merlion

Malaysia muncul johan Piala Merlion di bumi Singapura malam ini

KUALA LUMPUR -Skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara mencipta sejarah apabila muncul johan Piala Merlion setelah menewaskan Hong Kong 2-1 di Stadium Jalan Besar Singapura sebentar tadi.

Malaysia mendakap Piala Merlion buat kali pertama dalam tempoh 41 tahun sejak kejohanan berkenaan diperkenalkan pada tahun 1982.

Skuad kendalian E. Elavarasan mencipta gol pertama pada minit ke-74 menerusi tandukan Najmudin Akmal yang merebahkan badan bagi menyempurnakan hantaran lintang rakan sepasukan.

Safwan Mazlan menambah koleksi jaringan Malaysia apabila melakukan jaringan hasil rembatan kencang pada minit ke-79 sebelum Lau Ka Kiu berjaya merapatkan jurang gol untuk Hong Kong setelah menyambar bola daripada penjaga gol negara, Rahadiazli yang melakukan kesilapan menampan bola.

Kejohanan berkenaan mengumpulkan empat pasukan iaitu tuan rumah Singapura, Malaysia, Kemboja dan Hong Kong dengan menggunakan format kalah mati.

Malaysia menewaskan Kemboja 4-2 pada perlawanan separuh akhir (perlawanan pertama).

Singapura hampa di kedudukan keeempat setelah tewas kepada Kemboja 2-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.