Kenal pasti golongan penoreh tercicir

BALING– Kerajaan dicadangkan memperuntukan sejumlah dana khusus bagi membantu golongan penoreh yang tercicir menerima bantuan kerajaan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah) Mohd Taufik Yaacob  berkata, majoriti penoreh tercicir daripada menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Menurutnya, majoriti mereka ialah individu yang mengambil upah menoreh di kebun milik orang lain.

“Hari ini kita tengok hasil seperti bantuan BMT tidak menyeluruh. Hanya sebilangan penoreh getah sahaja yang menerima manfaat kerana mendapat kerjasama pemilik kebun.

Mohd Taufik menuntut penoreh tercicir bantuan dikenal pasti

 

“Begitu juga halnya dengan IPG. Justeru itu, satu kertas kerja bagi memohon dana khusus daripada kerajaan akan dihantar kepada agensi-agensi berkaitan,”katanya.

Tambahnya, bagi memastikan cadangan itu diperhalusi, kertas kerja berkenaan turut akan dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta menteri terlibat.

Dakwanya, jumlah penoreh tercicir daripada bantuan mencecah ribuan orang dan beliau sendiri menerima aduan berkaitan daripada ramai penoreh getah.

Mohd Taufik berkata, beliau sentiasa peka dengan nasib penoreh getah, untuk itu Pergetah akan memberikan cadangan kepada RISDA dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk mengeluarkan borang khas kepada pemilik kebun getah.

“Melalui borang ini pemilik kebun diminta mengisi maklumat penoreh di bawah jagaannya .

“Sudah tentu apabila kita mengeluarkan borang ini, ia dapat mengenal pasti berapa jumlah sebenar penoreh getah di seluruh negara sekaligus setiap bentuk bantuan dapat disalurkan kepada sasaran,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.