Salahuddin ingatkan semua pihak jangan main sentimen agama, kaum

KUALA LUMPUR-Timbalan Presiden Amanah bertegas ucapannya yang didakwa menghasut hanya sekadar memperingatkan semua pihak supaya jangan bermain sentimen agama dan kaum.

Datuk Seri Salahudin Ayub berkata, beliau memberikan peringatan itu apabila pembangkang memainkan sentimen agama sewaktu berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Menurutnya, di bilik gerakan BN ,seorang penceramah daripada parti yang mendakwa parti agama telah menyatakan calon MCA yang mereka sokong itu adalah kafir zimmi.

“Oleh itu saya mempertegaskan, saya hanya memperingatkan mana-mana parti atau individu yang bermain isu perkauman menjadi begitu rasis dan menjadi pelampau-pelampau agama dalam negara kita ini.

“Ia akan menjerumus negara ini ke dalam kancah peperangan dan permusuhan seperti mana berlaku di Syria, Yaman dan sebagainya,”katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani menyoal adakah masyarakat Cina selesa dengan ucapan seperti itu.

“Adakah (Datuk Seri) Wee Jeck Seng (Calon MCA-BN) gembira dengan ucapan seperti ini? Adakah masyarakat Cina gembira dengan ucapan seperti ini?

“Kafir harbi, kafir zimmi..dan inilah yang saya maksudkan. Sekiranya isu agama ini dimainkan secara melampau, ia akan beri kesan yang besar kepada negara Malaysia,” katanya,

Dalam pada itu, Salahudin turut membalas semula kritikan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap ucapannya itu.

“Tadi juga saya mendengar Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengkritik ucapan saya. Adakah Datuk Asyraf sedar dalam negara kita ini ramai golongan yang ekstrim agama? Dalam kuliah mereka mengatakan ini golongan munafik jika tidak bersama parti mereka.

“Jika tidak bersama dengan parti dan kumpulan mereka masuk negara, mati esok dalam keadaan menjadi kafir.

“Ideologi ini sedang ditanam dalam fikiran rakyat negara kita. Oleh itu saya juga memperingatkan sekiranya ideologi atau fahaman takfiri ini terus menerus menjadi topik utama dan dikuliah atau dibicarakan, ia menjahanamkan negara kita,”katanya.

Beliau berkata, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beberapa bulan sebelum bermula Operasi Lalang 1987 juga pernah memainkan isu perkauman.

“Ramai lagi pimpinan-pimpinan Pemuda Umno pada waktu itu yang hari ini masih berada dalam dewan rakyat yang menyatakan perkara serupa,”katanya.

Terdahulu, tular kenyataan Salahuddin dalam satu perjumpaan tertutup di satu lokasi tersebar luas di media sosial.

Ucapan itu antaranya menyebut ” tapi ingat, jika bagi balik BN berkuasa, dia kawan dengan PAS, ini country akan huru-hara.

“Kita boleh berniaga, boleh sekolahkan anak, tak ada orang tembak sana sini, tak ada orang bakar sana sini,”katanya.

Artikel berkaitan:

http://rentas7.com/tadbir-kelantan-30-tahun-tak-ada-huru-hara-pas-bidas-salahuddin/

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.