Tadbir Kelantan 30 tahun, tak ada huru-hara, PAS bidas Salahuddin

SIK- PAS Kedah menuntut polis menyiasat kenyataan berbaur hasutan yang didakwa diucapkan Menteri Pertanian dan Asas Tani dalam perjumpaan tertutup di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Johor.

Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (gambar) berkata, kenyataaan dikeluarkan Datuk Seri Salahuddin Ayub menunjukkan beliau berpandangan ekstrim apabila membayangkan PAS dan BN akan melakukan huru-hara jika mentadbir negara.

Menurutnya, polis perlu mengambil tindakan ke atas pemimpin tersebut sekiranya mendapati kenyataan itu ada unsur-unsur mencetuskan perkauman.

“Menghasut ialah satu tindakan kekacauan, seoalah-olah membayangkan pihak lain akan melakukan huru-hara,”katanya ketika ditemui Rentas7 di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Sik, hari ini.

Terdahulu, kenyataan berbaur perkauman didakwa diucapkan Salahuddin dalam satu perjumpaan tertutup di sebuah SJKC tersebar luas di media sosial.

Video berkenaan:

Ucapan itu antaranya menyebut: ” tapi ingat, jika bagi balik BN berkuasa, dia kawan dengan PAS, ini country akan huru-hara.

“Kita boleh berniaga, boleh sekolahkan anak, tak ada orang tembak sana sini, tak ada orang bakar sana sini,”kata individu dalam video berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar perjumpaan tersebut berlangsung.

Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, ucapan Salahudin jelas satu tindakan menakut-nakutkan satu kaum dengan kaum yang lain serta melaga-lagakan sentimen perkauman.

Menurutnya, pemerintahan PAS di Kelantan selama 30 tahun termasuk mentadbir beberapa negeri lain membuktikan tiada huru hara berlaku.

“Kita ada bukti, perintah Kelantan 30 tahun tiada huru hara. Di Terengganu sekarang tiada huru hara.

“Kita pernah perintah Kedah, tiada huru hara. Malah aman damai dan membangun. PAS pernah bersama BN pada tahun 1974 hingga 1978 tiada juga huru hara,”katanya.

Sanusi berkata, huru-hara sebenar tercetus apabila DAP ditubuhkan.

“DAP ditubuh pada 1966, tahun 1969 tercetus peristiwa 13 Mei, itu huru-hara. Sebenarnya Salahuddin yang sedang mencetuskan huru-hara di negara ini.

“Rakyat perlu menilai apakah jenis pemimpin sedang ada di negara kita ini. Ke mana dia ingin bawa?,”katanya.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.