Insiden sempadan, pasukan keselamatan tugas penuh komitmen

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) memuji komitmen tinggi pasukan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, insiden tembakan yang membunuh dan mencederakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) membuktikan pasukan keselamatan menjaga negara dengan penuh tanggungjawab dan kesetiaan.

“Selang sehari selepas kejadian, kita digemparkan pula dengan berita tembakan ke atas seorang lagi anggota PGA di Bukit Kayu Hitam yang menyebabkan kecederaan ringan.

“PAMM amat yakin, musuh semakin tertekan apabila berdepan dengan kawalan ketat pasukan keselamatan negara kita. Syabas kepada semua wira negara di perbatasan,”katanya hari ini.

Beliau berkata, anggota baru pasukan keselamatan yang akan ditempatkan di sempadan diharap mencontohi semangat mendiang Koperal Baharuddin Ramli dan rakan-rakannya.

“Kepada anggota baru, usah gentar dan takut. Mendiang Koperal Baharuddin dan rakan-rakannya membuktikan tanah air yang kita cintai ini bukan untuk penjenayah.

“Ambil semangat mereka. Selagi mana kita mempunyai prinsip, selagi itu musuh akan kecundang,”katanya.

Mustaffa berkata, beliau juga berharap rakyat Malaysia di sempadan Thailand baik di Perlis, Kedah, Perak atau Kelantan tidak menjadi tali barut musuh.

“Komitmen rakyat di sempadan dalam menjaga negara amatlah diharapkan bukan saja pasukan keselamatan tetapi seluruh rakyat Malaysia,”katanya.

Artikel berkaitan:

http://rentas7.com/dua-aggota-pga-diserang-di-sempadan-seorang-maut/

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.