Sabah kaya hasil minyak, tapi 100,000 orang menganggur- Shafie Apdal

Shafie Apdal

KUALA LUMPUR– Sabah merekodkan jumlah kadar pengangguran ‘menakutkan’ walaupun ia sebuah negeri yang kaya dengan hasil minyak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, lebih 100,000 rakyat Sabah kini mengangur.

Justeru beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah berkata, semua pihak perlu berhenti berpolitik sebaliknya memberikan keutamaan membela rakyat.

Menurutnya, Sabah masih lagi negeri termiskin walaupun ia negeri yang kaya dengan hasil minyak iaitu 37 peratus atau 1.8 bilion tong daripada keseluruhan rizab minyak negara.

Beliau bimbang lebih ramai rakyat berdepan masalah kewangan apabila moratorium ditamatkan kelak.

“Kita nak memulihkan ekonomi di negara ini, bayangkan masalah yang kita hadapi di negara ini bila moratorium ditarik balik, bila mana bil elektrik datang, bila mana bil air datang.

“Pengangguran yang ada di negeri Sabah pada hari ini dah pun mencecah 100 lebih ribu orang-orang yang menganggur masalah yang perlu kita tangani yang perlu kita hadapi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Untuk itu, kerajaan Sabah bersedia berkerjasama dengan kerajaan Persekutuan melalui (G2G) bagi menyelesaikan masalah itu.

“Saya ingin tegaskan bahawa kerjasama itu bukanlah untuk mencari populariti politik tetapi demi menyelamatkan rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19,” katanya.

Shafie juga menuntut pertelingkahan yang tidak bermanfaat di Dewan Rakyat sepatutnya dihentikan.

Katanya, perkara lebih penting ialah bagaimana pemimpin melaksanakan amalan masing-masing bukannya hanya dengan percakapan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.