Lebih baik Mat Sabu belajar agama daripada bohong tentang Islam- NGO

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Pihak berkuasa agama digesa menyiasat segera Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau Mat Sabu susulan kenyataannya berbaur penghinaan kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) Datuk Mustaffa Idrus berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan.

“Ucapannya menyakitkan hati umat Islam. PAMM melihat kenyataan dikeluarkan Mohamad Sabu sebagai satu kenyataan biadap dan penuh penghinaan kepada Islam terutamanya kepada Nabi Muhammad S.A.W.

“Mat Sabu perlu ditahan. Adakah ucapannya ada unsur-unsur syiah, tiada pemahaman agama yang baik ataupun sebaliknya? Semua ini perlu disiasat,”katanya mengulas ucapan kontroversi Mohamad dalam perbahasan Parlimen hari ini.

Beliau juga menuntut Mohamad Sabu atau dikenali Mat Sabu belajar lebih mendalam soal agama.

Menurutnya, ia supaya pemimpin rapat DAP itu memahami Islam dengan lebih baik.

“Lebih baik dia belajar agama dengan baik daripada bercakap bohong tentang Islam.

“Adakah ini standard dan kualiti Presiden parti Islam Amanah?,”katanya.

Mustafa berkata, Mohamad Sabu kini wira kepada pelarian apabila bersungguh-sungguh mempertahankan pelarian dalam Parlimen.

“Negara kita mempunyai undang-undang dan kedaulatan. Menerima pelarian tidak boleh semudah ABC.

“Ada banyak perkara perlu diteliti. Tapi hari ini Mat Sabu menjadi wira kepada pelarian. Mujurlah ucapannya hanya sebagai pembangkang jika tidak parti pelarian di negara ini semakin lupa diri,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.