ALOR SETAR-Berapa banyak lagi tragedi perlu berlaku sebelum keselamatan pelajar benar-benar menjadi keutamaan?
Persoalan itu dibangkitkan Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah yang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperketat sistem keselamatan sekolah, termasuk memberi kuasa lebih jelas kepada rotan kepada guru untuk menangani disiplin dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) secara menyeluruh.
Pengerusi PAMM Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus berkata, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak, namun rentetan kes yang melibatkan pelajar sejak kebelakangan ini menunjukkan isu keselamatan tidak boleh lagi ditangani secara bermusim selepas sesuatu tragedi berlaku.
Antara kes yang mendapat perhatian negara termasuk Zara Qairina di Sabah, Irene Sofiya di Johor, Wan Ahmad Faris di Kelantan, Shing Xuen di Selangor dan Muhammad Idlan Fareeq di Negeri Sembilan, yang turut disebut Perdana Menteri ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu.
Menurut Mustaffa, rentetan kes berkenaan sepatutnya menjadi isyarat jelas kepada KPM bahawa pendekatan keselamatan sekolah perlu berubah daripada sekadar bertindak selepas kejadian kepada sistem pencegahan yang lebih agresif dan menyeluruh selain menukar menteri baharu lebih layak dan bijak.
Beliau berkata, guru yang berada paling hampir dengan pelajar perlu mempunyai bidang kuasa yang jelas untuk bertindak terhadap salah laku serius, termasuk mempertimbangkan penggunaan hukuman rotan dalam keadaan yang dibenarkan peraturan dan dengan kawalan serta prosedur yang ketat.
“Jangan letakkan guru dalam keadaan mereka bertanggungjawab terhadap disiplin, tetapi pada masa sama takut untuk bertindak. Jika guru diberi amanah menjaga keselamatan dan disiplin, mereka mesti mempunyai garis panduan dan kuasa yang jelas,” katanya.
PAMM Kedah juga menggesa kerajaan memastikan CCTV dipasang di seluruh sekolah kerajaan, terutama di kawasan berisiko seperti koridor, tangga, asrama, pintu masuk dan kawasan yang sukar dipantau secara fizikal. Sistem itu, katanya, perlu mempunyai liputan yang mencukupi dan tidak mewujudkan terlalu banyak kawasan titik buta.
“CCTV bukan pengganti guru. Tetapi apabila sesuatu berlaku, rakaman boleh menjadi bukti penting dan pada masa sama kewujudan kamera boleh menjadi elemen pencegahan. Kita tidak mahu selepas tragedi berlaku barulah semua orang bertanya siapa melihat apa yang berlaku,” katanya.
Mustaffa berkata, keselamatan pelajar juga perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama membabitkan KPM, pihak sekolah, ibu bapa, polis dan komuniti, termasuk melalui audit keselamatan secara berkala serta tindakan segera terhadap kawasan yang dikenal pasti berisiko.
“Nyawa seorang pelajar bukan angka statistik. Seorang anak yang keluar dari rumah pada waktu pagi mesti mempunyai jaminan bahawa dia berada dalam persekitaran yang selamat. KPM perlu bertindak dengan ukuran keberkesanan yang jelas dan boleh dinilai masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan, PAMM Kedah tidak mahu isu keselamatan sekolah hanya kembali menjadi tajuk utama setiap kali berlaku kematian atau kecederaan serius.
“Sebaliknya, tindakan pencegahan mesti dilaksanakan sekarang, termasuk memperkukuh kuasa guru, memperluaskan CCTV dan memastikan setiap sekolah mempunyai sistem keselamatan yang benar-benar berfungsi,”katanya .
RENTAS7








Leave a Reply