KUALA LUMPUR– -Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) menjunjung kasih atas titah Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas titah menzahirkan sokongan penuh kepada aktiviti membanteras aktiviti pencerobohan tanah Pahang seluas lebih 14,000 hektar secara haram.
Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Negeri Pahang khususnya dan rakyat Malaysia amnya beruntung mempunyai seorang sultan yang tegas dan berani.
Menurutnya, ketegasan dan keberanian dimiliki seorang pemimpin akan memastikan hak-hak umat Islam dan bangsa Melayu terbela.
Jelasnya, suara Sultan Pahang tidak berseorangan kerana rakyat khususnya umat Islam sentiasa berdiri teguh di belakang baginda.
“Saya sebagai rakyat yang telah dianugerah Sultan Pahang Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2004 amat terkesan dengan teguran Tuanku.
“Saya amat merasa sedih atas apa yang telah berlaku semoga tidak akan ada lagi pencerobohan tanah lagi. Akibat kelalaian pegawai pegawai yang dilantik, ianya berlaku.
“Semoga pegawai -pegawai yang bertanggung jawab mengambil iktibar apa telah berlaku dan memegang amanah yang di amanahkan dengan jujur dan tidak mengkhianati amanah diberikan dengan membela para penceroboh,”katanya hari ini.
Beliau berkata, penceroboh tanah Pahang tidak akan berhenti daripada menceroboh walaupun telah menerima amaran .
Justeru katanya, kepimpinan Sultan Pahang sangat dituntut dalam memastikan ‘ekor’ dibawah dapat melaksanakan tugas dengan sempurna.
“Kita sedar badan-badan penguat kuasa tidak mudah untuk melaksanakan operasi. Mereka sentiasa ditekan oleh pencerohoh-penceroboh haram yang tidak tahu malu dan berani merompak harta kerajaan negeri secara terbuka.
“Para penguatkuasa juga ditekan pemimpin DAP yang mempertahankan ‘rompakan’ terbuka itu. Tetapi apabila arahan di atas adalah datang daripada seorang sultan. Insya-Allah segala-galanya akan dipermudahkan.
“Kita sebagai rakyat marilah berdoa dan memohon bantuan Allah, supaya urusan Sultan Pahang dan kerajaan negeri mengambil semula hak daripada perompak berjalan dengan sempurna,”katanya.
Sultan Pahang pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 bertitah bahawa sebanyak 14,494 hektar dan 908 hektar tanah kerajaan negeri telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Titah baginda, lebih 6000 hektar tanah Hutan Simpanan Kekal turut diceroboh atas nama pertanian tetapi hakikatnya ia adalah satu perompakan.
Titah baginda lagi, pencerobohan telah berlaku lebih empat dekad lalu berlaku tanpa pengetahuannya yang ketika itu masih Tengku Mahkota Pahang yang tidak mempunyai kuasa dan peranan, tetapi kini baginda telah menjadi sultan dan sudah sampai masanya kita semua celik mata.
RENTAS7








Leave a Reply