Jangan berat sebelah, hukum Sin Chew Daily seperti anda hukum Radio Era

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR– Tindakan Akhbar Sin Chew Daily menggugurkan lambang bulan daripada gambar bendera Malaysia pada akhbar mereka dilihat kepada lebih kepada pengkhianatan.

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, akhbar berkenaan perlu dikenakan hukuman berat.

Beliau mempersoalkan, apakah kerajaan akan mengenakan tindakan kepada akhbar tersebut seperti mana hukuman kepada stesen Radio Era.

Beliau mengingatkan pihak kerajaan supaya jangan berat sebelah dalam menjatuhkan hukuman.

“Pengendali stesen radio Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikompaun RM250,000 bagi kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau.

“Kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), setelah pihaknya mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Tiga penyampai stesen Radio Era turut digantung dan dipaksa memohon maaf di Kuil Batu Caves, maka kami menuntut akhbar Sin Chew Daily ini turut dikenakan hukuman serupa. Tetapi hukuman sewajarnya lebih berat kerana ia melibatkan bendera Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap media cetak mempunyai bahagian dalam mengesahkan info dan gambar.

“Jika sesebuah media cetak hanya ralat pada ayat, atau kesilapan kecil pada maklumat itu perkara biasa yang pernah kita lihat.

“Tetapi apabila ia melibatkan sebuah bendera, lagi-lagi bendera Malaysia yang berdaulat, kita pasti ia bukan disengajakan tetapi adalah pengkhianatan. Pengkhianatan ini wajib diberikan hukuman,”katanya.

Mustaffa berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini dengan hanya menerima permohonan maaf seperti selalu dilakukan oleh pihak-pihak yang sengaja melakukan provokasi.

“Kami rakyat tak mau dengar permohonan maaf. Tetapi kami nak lihat sebuah hukuman diberikan kepada pihak-pihak pengkhianat ini.

“Mustahil sebuah bendera tidak cukup sifat boleh disiarkan pada akhbar yang bertapak di negara ini? Mana perginya ketua infografik? Mana perginya editor? ketua pengarang? Adakah anda semua lena atau pengkhianat?,”katanya.

Beliau berkata, rakyat akan menilai keberanian kerajaan dalam kes ini.

“Kita tengok pemimpin kerajaan hari ini ada telur atau tidak dalam mengenakan hukuman kepada akhbar Cina.

“Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, seluruh rakyat tertumpu kepada anda,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.