PUTRA yakin cipta kejutan di Kedah

Datuk Mustaffa Idrus

AlOR SETAR– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah yakin akan menang di beberapa kerusi DUN dan Parlimen di Kedah.

Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, situasi itu berdasarkan sokongan diterima PUTRA terutamanya oleh kaum Melayu.

“Meletakkan keyakinan tidak salah, dan keyakinan ini berdasarkan sokongan kaum Melayu terhadap PUTRA di negeri ini.

“Kami bermula sebagai parti yang kecil, dan Insya Allah mampu mendapat mandat rakyat,”katanya hari ini.

Beliau berkata, selain Melayu, PUTRA turut terbuka untuk kaum lain.

“Alhamdulillah, sudah ada kaum selain Melayu yang bersama PUTRA. Walaupun PUTRA terasnya bangsa Melayu tetapi mereka faham apa yang kami perjuangkan.

“Sekiranya kami dapat menambah kuat momentum yang ada, tidak mustahil PUTRA mampu melakukan kejutan di Kedah,”katanya.

Tegasnya, kerusi DUN dan Parlimen yang diyakini menang tidak akan didedahkan buat masa ini kerana ia rahsia strategi politik.

Beliau berkata, PUTRA belum memutuskan sebarang keputusan soal pembentukan kerajaan.

“Sekiranya kita ada kerusi, PUTRA belum memutuskan sebarang keputusan untuk bergabung dengan parti mana bagi khususnya dalam pembentukan kerajaan.

“Apa pun PUTRA akan melakukan persiapan kerana mahu proses pentadbiran negara berjalan lancar,”katanya.

Mustaffa berkata, PUTRA akan memastikan semua calonnya tidak terjebak dalam budaya lompat parti seperti mana dilakukan kebanyakan Ahli Dewan Rakyat.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.