Pilih MCA, bukti UMNO pertahan permaukatan BN

KUALA LUMPUR– Keputusan sebulat suara UMNO memilih MCA bagi bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai membuktikan parti Melayu tertua itu mempertahankan semangat permaufakatan BN.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO komited untuk merealisasikan agenda Muafakat Nasional bagi mengembalikan Malaysia mengikut acuannya yang asal.

“Muafakat Nasional adalah manifestasi semangat penyatuan ummah yang bersifat inklusif merentasi Agama dan Kaum.

“Muafakat Nasional juga adalah suatu komitmen BN yang dinakhodai UMNO dan Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS untuk membina semula Malaysia yang dirosakkan akarnya oleh DAP-PH,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berbaur perkauman yang dimainkan pihak tertentu selepas UMNO melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi memilih MCA untuk bertanding pada PRK kali ini.

Beliau berkata, kompenan pembangkang mahu memperteguhkan kembali sifat keindukan Islam dan bumiputera-Melayu dalam realiti kemajmukan agama dan kaum mengikut acuan Malaysia yang gemilang.

“Moga Tanjung Piai menjadi saksi kepada pembentukan sebuah Muafakat Nasional yang utuh demi Malaysia tercinta,”katanya.

UMNO secara rasmi memilih Datuk Seri Wee Jeck Seng bagi berdepan calon PH, Karmaine Sardini bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November depan.

Keputusan telah dijangka banyak pihak itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Pusat Gerakan BN Pontian, Johor, malam tadi.

Wee,55, pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai bermula 2008 sebelum kecundang kepada penyandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik,43, pada PRU14.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.