Isu halal Ah Cheng Laksa: Jakim beri penjelasan

KUALA LUMPUR-Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) hari ini tampil menjelaskan status halal premis makanan Ah Cheng Laksa selepas dihujani pertanyaan ramai di media sosial halal Malaysia.

Premis berkenaan yang tular di media sosial didakwa menggunakan bahan tidak halal dalam ramuan mereka walaupun turut dikunjungi pelanggan beragama Islam.

“Untuk makluman, premis makanan Ah Cheng Laksa masih belum menjadi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Walau bagaimanapun, central kitchen bagi premis makanan berkenaan yang didaftar atas nama Ah Cheng Laksa Sdn Bhd di lokasi Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Selangor telah dipersijilkan halal,”kata JAKIM dalam satu kenyataan.

Isu premis tersebut tular di media sosial

Menurut kenyataan itu, pensijilan halal yang diperolehi oleh central kitchen tidak bermakna seluruh rangkaian outletnya telah dipersijilkan halal.

Kata JAKIM, ini kerana bagi permohonan premis makanan berangkai, terdapat syarat-syarat khusus pensijilan halal yang perlu dipenuhi.

“Justeru, JAKIM mengalu-alukan usaha murni pihak syarikat untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk seluruh rangkaian premisnya agar kekeliruan status halal dapat diatasi dengan berkesan.

“Pihak kami menyarankan kepada para pengguna untuk mengutamakan produk atau premis makanan yang telah mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia,”katanya.

JAKIM berkata, premis atau produk yang mempunya Sijil Pengesahan Halal Malaysia tidak perlu diragui dalam semua aspek.

“Premis atau produk makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia bukan sahaja dijamin halal malahan ianya toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard, peraturan dan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.

“Pengguna juga dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah dan salah faham sesama ummah yang akan menjejaskan keharmonian negara,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.