PN diramal tawan Padang Serai

PADANG SERAI-Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak menghadapi masalah menawan Parlimen Padang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Tinjauan RENTAS7 di sekitar Padang Serai pada hari membuang undi, PN dilihat mendominasi sokongan penduduk.

Kemeriahan itu boleh dilihat apabila penyokong PN menguasai kebanyakan lokasi tepi jalan untuk mengibarkan bendera berbanding kem parti lain.

Bendera PN turut berkibar pada kenderaan penduduk termasuk waris yang mengambil anak pulang dari sekolah.

Momentum PN dilihat meningkatkan sepanjang tempoh berkempen dua minggu dan mencapai kemuncak menerusi Ceramah Mega Padang Serai pada 5 Disember lalu.

Ceramah dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mencatat kehadiran lebih 10,000 orang termasuk puluhan ribu yang menonton di siaran langsung.

Jumlah itu jauh meninggalkan kem parti kerajaan yang dilihat tidak mendapat sokongan undi Melayu dan lebih banyak bergantung kepada undi Cina dan India.

Pemerhatian awal mendapati pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum dapat memikat undi Melayu di Padang Serai dengan PH perlu bekerja lebih keras pada saat-saat akhir walaupun Parlimen berkenaan kubu kuat mereka sendiri.

Calon Pakatan Harapan, Dr Sofee Razak yang turut mendapat sokongan parti UMNO-BN dan Warisan sukar untuk menang seandainya tahap sokongan kepada PH masih kekal ditahap rendah.

Faktor pemimpin UMNO-BN terpalit skandal rasuah menjadi beban kepada PH untuk menang kali ini selepas kedua-dua parti bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan.

Aura calon PH yang kurang dirasai di Padang Serai walaupun mendapat sokongan parti gabungan PH akan menjejaskan undi terhadapnya.

Dr Sofee pernah bertanding pada PRU-14 bagi kerusi DUN Kuala Ketil, beliau tewas kepada calon PAS, Mejar (B) Mansor Zakaria.

Pada saingan tiga penjuru PRU-14 lalu, Dr Sofee sekadar mendapat 4,952 undi, calon BN iaitu Datuk Khairul Azhar Abdullah dengan undi 10,993 manakala Mansor Zakaria menang dengan 12,574 undian.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.