Cemarkan sungai, syarikat pengeluar makan dan minuman didenda RM 90,000

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 90,000 kepada syarikat tersebut

SHAH ALAM – Sebuah kilang memproses makanan dan minuman telah dituduh di mahkamah hari ini dengan dua pertuduhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 kerana gagal mematuhi had piawai yang ditetapkan di dalam peraturan -peraturan yang sama.

Menurut pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, pada 21 Mei 2019, syarikat tersebut didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai  bagi lima (5) parameter di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 seperti berikut:

i. Kandungan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD5) yang mempunyai kepekatan sebanyak 290mg/l melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 50mg/l;

ii. Kandungan pepejal terampai yang mempunyai kepekatan sebanyak 400mg/l
melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 100mg/l;

iii. Kandungan besi yang mempunyai kepekatan sebanyak 17mg/l melebihi had
kepekatan yang dibenarkan iaitu 5mg/l;

iv. Kandungan minyak dan gris yang mempunyai kepekatan sebanyak 24 mg/l
melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 10mg/l; dan

v. Kandungan warna yang mempunyai kepekatan sebanyak 206 ADMI melebihi
had kepekatan yang dibenarkan iaitu 200 ADMI.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, syarikat tersebut juga didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai bagi satu (1) parameter di bawah Peraturan 12(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 seperti berikut:

i. Kandungan Keperluan Oksigen Kimia (COD) yang mempunyai kepekatan
sebanyak 625mg/l melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 200mg/l.

Syarikat tersebut mengaku bersalah setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan fakta kes dan eksibit-eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam telah menjatuhkan orang kena saman (OKS) hukuman dengan jumlah denda sebanyak RM90,000.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dan OKS diwakili oleh peguambela mereka.

Sementara itu, Pengarah JAS Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, beliau menegaskan bahawa Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar.

“Saya juga menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.