Mandian Wap Herba Warisan di Kampung Sidam Kiri

Golongan wanita juga tidak melepaskan peluang untuk ke sini

SIDAM KIRI-Niat untuk membantu orang ramai tampil sihat mendorong seorang pesara polis membuka perniagaan Mandian Wap Herba Warisan.

Dibuka di Kampung Sidam Kiri Kedah, mandian wap menggunakan teknologi hidro itu mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ia menjadi tumpuan bukan sahaja buat penduduk setempat, tetapi dari negeri-negeri lain.

Bilik mandian wap yang mengasingkan lelaki dan wanita dapat menempatkan beberapa orang dalam satu-satu masa.

Pengusaha, Mohd Fauzan Shamsuddin,55, atau mesra membahasakan diri sebagai Pak Ngah berkata, mandian wap itu dibuka sejak tahun 2016.

Mohd Fauzan Shamsuddin pemilik kepada Mandian Wap Herba Warisan di Kampung Sidam Kiri

“Perniagaan mandian wap ini dibuka atas kesedaran Pak Ngah sendiri.

“Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), manusia perlu bersenam atau berpeluh selama 150 minit seminggu.

“Jadi Pak Ngah mengambil inisiatif mandian wap herba ini sebagai gantian untuk mengeluarkan peluh,”katanya.

Menurutnya, mandian wap membantu tubuh badan seseorang untuk berpeluh sekaligus berasa lebih sihat.

Jelasnya lagi, perancangan membuka pusat mandian wap itu telah dirancang 15 tahun sebelum itu lagi.

Ruang menunggu kepada pengunjung

Pak Ngah berkata, dia banyak belajar khasiat-khasiat dan cara penggunaan herba daripada bapa saudaranya.

“Bapa saudara Pak Ngah telah meninggal dunia.

“Sewaktu usianya, bapa saudara merupakan orang yang faham tentang kaedah merawat pesakit-penyakit perempuan dan lelaki menggunakan herba.

“Malah bapa saudara Pak Ngah turut memberikan idea berkaitan membantu pesakit menggunakan rawatan herba.

“Pak Ngah banyak banyak belajar daripadanya berkaitan herba, dalam masa sama Pak Ngah belajar kaedah-kaedah mandian wap dari tempat -tempat lain,”katanya.

Menurutnya, hasil daripada ilmu yang dipelajari, dia mencipta kaedah mandian wap lebih moden menggunakan herba.

 

“Daripada semua ilmu dipelajari, Pak Ngah berjaya menghasilan satu tempat mandian wap yang agak moden serta menghasilkan khasiat wap yang bersih,”katanya.

Campuran herba dan sejarah mandian wap

Menurutnya, pelbagai campuran herba digunakan dalam mandian wap bagi memastikan keberkesanannya.

“Pak Ngah menggunakan herba hutan dengan dicampurkan herba sekitar kampung termasuklah sedikit daun serai wangi dan daun pandan,”katanya.

Berkongsi sejarah mandian wap, Pak Ngah berkata, menurut catatan ia bermula sejak zaman Nabi Sulaiman.

“Orang pertama yang menerima rawatan mandian wap adalah Puteri Balqis,”katanya.

Pak Ngah duduk sedang melayani pengunjung

Ramai pesakit pulih dari Mandian Wap Warisan

Pak Ngah berkata, ramai pesakit yang mendapatkan rawatan melalui mandian wap di situ sembuh daripada penyakit masing-masing.

“Dengan izin ALLAH, pesakit strok, sakit urat, kencing manis dan penat kronik dan lain-lain berjaya sembuh dengan rawatan ini.

“Malah ia juga sesuai bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Salah satu yang berjaya turunkan berat badan adalah individu berusia 27 tahun dari Kuala Ketil.

Pak Ngah menunjukkan bilik mandian wap herba

“Dari beratnya 139 kilogram, individu tersebut dapat kurangkan kepada 108 kilogram hasil daripada kekerapan mandian wap di sini.

“Bagi penyakit-penyakit tertentu pula, kita akan memberikan garis panduan dan jadual mandian wap kepada pesakit,”katanya.

Tambahnya, mandian itu juga boleh membantu merawat kulit wajah wanita yang bermasalah termasuk mereka yang telah mengalami menopaus

Adab-adab mandian wap

Bagi meraih keberkatan, Pak Ngah akan menyarankan mereka yang hadir untuk bersolawat dan berdoa sebelum berdoa.

“Sebelum mandi, individu atau pesakit disaran berselawat, menarik nafas sebanyak tiga kali.

“Ketika menarik nafas yang terakhir, ketika itulah kita berdoa dalam hati supaya ALLAH sembuhkan penyakit,”katanya.

Antara pengunjung yang hadir ke Mandian Wap Herba Warisan

Katanya, tempoh mandian wap ialah selama sejam.

“Selepas mandian, seseorang itu tidak boleh mandi selama sejam bagi mengelakkan kesan buruk ke atas tubuh badan,”katanya.

Waktu operasi dan harga yang ‘tak masuk akal’

Waktu operasi mandian wap ialah setiap hari bermula jam 8 malam hingga 12 malam.

Bagi anda yang ingin mencuba, jangan terkejut apabila kadar bayaran mandian hanyalah RM 10 seorang.

Kata Pak Ngah, dia mengenakan kadar bayaran serendah itu demi meraih ganjaran pahala.

Ruang rehat disediakan kepada pengunjung, tumbuh-tumbuhan hijau yang ditanam menyegarkan lagi individu yang selesai mandian wap

“Jika ikut harga betul-betul ialah RM 35 seorang, tapi sebab nak buat amal jariah Pak Ngah hanya ambil RM 10 seorang.

“Sambil-sambil bantu orang, sambil-sambil buat amal jariah,”katanya.

Orang ramai yang ingin ke sini disaran membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghubungi Pak Ngah di talian 013-5942778.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.