Pemberian Vaksin fasa pertama diutamakan kepada barisan hadapan

PUTRAJAYA-Menteri Kesihatan Malaysia Dato’ Sri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini telah mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Khas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) bagi membincangkan status kemajuan Program Imunisasi
COVID-19 Kebangsaan.

JKKAV dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat JKJAV sebulat memutuskan bahawa pemberian vaksin fasa pertama ini diutamakan kepada petugas barisan hadapan.

Menurut kenyataan, mesyuarat juga telah mendefinisikan dengan lebih jelas takrifan frontliners petugas barisan hadapan.

“Kerajaan tidak akan memberi keutamaan kepada mana-mana individu atau mana-mana pihak yang bukannya dalam kategori barisan hadapan untuk menerima vaksin terlebih dahulu.

“Mesyuarat pada hari ini juga turut bersetuju untuk jawatankuasa kecil di bawah JKJAV mengenal pasti dan memproses permohonan daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan dan NGO untuk menerima vaksinasi,”katanya.

JKJAV berkata, setakat ini JKJAV telah
menerima banyak permohonan dari pelbagai pihak untuk diberi keutamaan suntikan vaksin COVID-19.

“Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari 2021, setakat jam 12.00 tengah hari tadi, seramai lebih daripada 1.5 juta telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

“Sehingga hari ini, tiga bekalan vaksin telah pun sampai iaitu Comirnaty (dari Pfizer-BioNTech) pada 21 dan 24 Februari 2021.

“Vaksin Pfizer-BioNTech mula digunakan semasa pelancaran Program Imunisasi
COVID-19 dengan YAB Perdana Menteri menjadi orang pertama menerima suntikan diikuti dengan barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan, anggota keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Petugas Penjara dan Anggota Bomba dan Penyelamat yang turut menerima suntikan.

“Sementara itu, vaksin CoronoVac (dari SinoVac) telah sampai di Malaysia
pada 27 Februari 2021. Pembelian vaksin Sinovac akan melibatkan pemindahan teknologi daripada Sinovac kepada Pharmaniaga,”katanya.

Kenyataan berkata, Vaksin CoronoVac yang diperolehi dalam bentuk pukal ini masih tertakluk kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency – NPRA).

“Vaksin ini masih dalam peringkat
pembotolan secara fill and finish oleh syarikat tempatan bagi kegunaan rakyat Malaysia.

“Mesyuarat JKJAV juga bersetuju bahawa tiada diskriminasi pemilihan jenis vaksin kepada rakyat dengan pelaksanaan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan untuk Fasa 1,”katanya.

Menurut kenyataan, Risk assessment framework untuk Fasa 2 dan 3 turut dibincangkan agar isu penggiliran penerimaan vaksin dijalankan secara telus dan adil kepada rakyat.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.