Peluang terbaik Malaysia benam Indonesia esok

Skuad remaja Malaysia menjalani latihan di Stadium Mini Cibinong Bogor hari ini sebelum turun menentang tuan rumah Indonesia esok

KUALA LUMPUR -Skuad bawah 16 tahun akan mengakhiri saingan kelayakan Kumpulan B Piala Asia B-17 menentang tuan rumah Indonesia esok.

Kedua-dua pasukan akan beraksi bagi penentuan juara atau naib juara Kumpulan B dan pemenang akan layak secara merit ke Piala Asia B-17 tahun depan.

Sebagai tuan rumah Indonesia mahu mengambil peluang menyambar slot berkenaan.

Tetapi mereka terpaksa bermain tanpa penyokong selepas Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) tidak membenarkan kemasukan penyokong bagi semua perlawanan Kumpulan B selepas berlakunya tragedi di Stadium Kanjuruhan Malang mengakibatkan lebih 174 nyawa melayang baru-baru ini.

Situasi tersebut menjadikan Indonesia hilang sedikit kelebihan daripada sorakan padu penyokong mereka, lagi-lagi membabitkan pertemuan menentang Malaysia yang dianggap musuh tradisi.

Kesempatan itu wajib dimanfaat sepenuhnya skuad remaja Malaysia untuk melakar kemenangan ke atas tuan rumah.

Malaysia kini ditangga kedua dengan tujuh mata manakala tuan rumah Indonesia mengutip sembilan mata selepas kedua-dua pasukan mengharungi tiga perlawanan.

Berdasarkan prestasi semasa anak buah Osmero Omaro dan Bima Sakti, kedua-dua pasukan dijangka beraksi sengit.

Malaysia diramal mengatasi Indonesia selepas membuktikan kemampuan dengan membenam Palestin 4-0 dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) 3-2.

RENTAS7/ FOTO: FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.