Bajet 2023 tidak menyelami masalah dasar- Warisan Kedah

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI – Bajet 2023 dilihat tidak sampai ke sasaran secara keseluruhan dan mempunyai banyak kelompongan.

Pengerusi Biro Perhubungan Awam Parti Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, dalam erti kata lain bajet tahun depan disifatkan tidak menyelami masalah dasar.

Menurutnya, antara kelompongan dapat dilihat ialah pada diskaun 50 peratus kepada vateran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara polis yang menggunakan pengangkutan awam bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tahun depan.

“Melalui inisiatif MyWira, kira-kira 21,000 pemegang kad vateran ATM dan kad polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang dikatakan akan menerima manfaat.

“Soalnya, apakah kerajaan telah mengkaji berapa peratus sahaja golongan berkenaan menggunakan perkhidmatan berkenaan?,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, beliau berpandangan adalah lebih baik diskaun berkenaan diberikan dalam bentuk lebih penting.

“Vateran mana nak naik kemudahan awam, untuk melancong? Sebab itu saya kata bajet diumumkan ini lompong.

“Kebanyakan vateran telah bekeluarga dan mempunyai tanggungjawab lain dalam kewangan mereka.

“Adalah lebih baik diskaun itu diberikan dalam bentuk membeli keperluan harian, diskaun cukai jalan, atau menambahkan potongan diskaun kepada elaun bulanan mereka atau perbelanjaan lebih penting,”katanya.

Mustaffa berkata, Bajet 2023 juga tidak memberikan pengkhususan khas kepada remaja lepasan sekolah untuk memulakan pernigaan atau penerapan kemahiran.

Sebaliknya, kerajaan telah ‘membenihkan’ hutang kepada golongan muda apabila menawarkan RM50,000 untuk 10,000 anak muda menjana pendapatan sendiri menerusi BSN bagi Skim Penjaja Muda Keluarga.

“Selain itu, Bajet 2023 juga menyebut sejumlah RM 305 juta tersedia sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, Tekun, Mara, BSN dan Agrobank.

“Bagi Warisan pengumuman ini tidak lebih daripada mengalakkan anak muda berhutang di usia muda.

“Jika melibatkan dana dari bank lebih baik perkara ini tidak disebut dalam bajet. Orang akan nampak kerajaan malas bekerja dan tidak ada idea membantu anak muda,”katanya.

Beliau berkata, Warisan memuji usaha membantu golongan petani, penoreh dan nelayan menerusi beberapa inisiatif diambil.

Tetapi katanya, harapan 320,000 penoreh getah negara ini yang mahu Bajet 2023 menekankan harga lantai tanaman komuditi itu tidak kesampaian.

“Harga getah skrap turun naik dan lebih teruk pada musim tengkujuh .

“Kita mahu sekurang-kurangnya harga lantai getah skrap diletak pada RM3.50 sekilogram tetapi ia tidak berlaku.

“Bantuan sampingan seperti Bantuan Musim Tengkujuh diumumkan kerajaan hanya akan kurangkan sedikit beban, tetapi tidak menyelesaikan masalah dan kebajikan penoreh getah,”katanya .

Mustaffa yang juga Naib Pengerusi 1 Parti Warisan Negeri Kedah dan Ketua Bahagian Parti Warisan Negeri Kedah Bahagian Padang Serai berkata, Bajet 2023 juga tidak menyentuh secara terperinci tentang industri pelancongan.

“Ada banyak lagi perkara yang kita lihat tidak menyentuh secara dasar masalah rakyat, tetapi apa yang kita sebutkan tadi diharap dapat diberikan perhatian dan tindakan oleh kerajaan sementara Parlimen belum dibubarkan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.