Agih bantuan, PKWR Kuala Ketil guna konsep ‘Smart Tag’

Penerima mengambil bantuan tunai secara walk in

KUALA KETIL– Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kuala Ketil menggunakan konsep ‘Smart Tag” dalam program penyampaian COVID-19 kepada 209 penerima semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, program dengan kerjasama Pejabat Daerah Baling itu berlangsungĀ  di Dewan PKWR Kuala Ketil.

“Kita tidak mengadakan majlis berhimpun yang lama sebaliknya diadakan secara ‘walk in’ di mana penerima hanya datang mengambil bantuan tunai di meja disediakan.

“Dalam program ini juga tiada majlis ucapan diadakan, malah penerima diberi kelonggaran untuk datang mengambil wang tunai bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari,”katanya kepada Rentas7.com.

Beliau berkata, PKWR Kuala Ketil turut mengambil langkah prosedur operasi standard (SOP) dengan menyukat suhu dan merekod kehadiran mereka melalui aplikasi My Sejahtera.

“Alhamdulillah walaupun majlis ini diadakan dalam tempoh Kluster Tawar dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPPP) yang belum berakhir, program tetap berjalan dengan lancar.

“Saya juga berharap penerima menggunakan wang bantuan ini dengan sebaik mungkin. Sikap menabung itu perlu ada kerana kita tidak tahu apa bakal berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Mansor mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, pejabat daerah, penghulu mukim dan semua yang membantu menjayakan program itu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.