Ada tangan ghaib cuba jadikan negara komunis

SUNGAI PETANI– Ratusan individu berhimpun secara aman di Dataran Zero Sungai Petani, hari ini bagi membantah usaha menghidupkan kembali ideologi komunis di negara ini.

Penganjuran kali pertama itu bermula jam 9 pagi dan berakhir 11.30 pagi. Ia menghimpunkan vateran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), NGO-NGO (Pertubuhan bukan kerajaan) serta masyarakat.

Mesej penting peserta dalam himpunan itu adalah menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghidupkan kembali fahaman kumpulan berkenaan.

Peserta berhimpun di Dataran Zero Sungai Petani

Mereka juga mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak sesekali mencabar kedaulatan serta mengganggu gugat keamanan negara.

Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad berkata, fahaman komunis yang tidak bertuhan mengancam kedaulatan tanah air, agama dan rakyat malah boleh menggugat akidah umat Islam.

“Ideologi komunis ialah idealogi tidak bertuhan.

Najmi Ahmad berdiri dua kiri sedang menyampaikan ucapannya

“Komunis ini telah mencatat dalam sejarah dunia, merekalah pengganas, merekalah yang membuat angkara di seluruh dunia,”katanya ketika berucap dalam himpunan membantah ideologi komunis di Dataran Zero, hari ini.

Terdahulu, peserta berarak kira-kira satu kilometer dari Bank Rakyat ke Dataran Zero Sungai Petani.

Najmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang berkata, apa sedang berlaku ketika ini menunjukkan ada “tangan ghaib” sedang berusaha mengubah sejarah sebenar Malaysia.

“Apa yang kita saksikan sedang berlaku di depan mata kita sekarang, bahawa di sana ada tangan-tangan ghaib cuba mengubah sejarah pejuangan di negara ini.

“Oleh itu kita kena insaf, bahawa gerakan tangan-tangan ghaib ini untuk (cuba)menjadikan negara ini sebagai negara komunis,”katanya.

Vateran ATM turut menyatakan bantahan mereka dalam himpunan hari ini

Tambahnya, sebarang usaha menghidupkan kembali fahaman komunis akan ditentang habis-habisan.

Himpunan berkenaan dianjurkan rentetan isu-isu sensitif yang timbul akhir-akhir ini.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.