Pekan Malau umpama pekan Koboi

dav

BALING– Pekan Malau mempunyai kapasiti penduduk berjumlah kira-kira 500 orang.

Pekan dinamakan Malau ini terletak di selatan Baling dan bersempadan dengan daerah Kulim.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Pekan Malau, Raman Shariff,57, berkata, pekan itu wujud sejak negara menyambut kemerdekaan pada tahun 1957.

Menurutnya, asal usul pekan ini diambil daripada nama sepohon pokok Malau  oleh penduduk tempatan.
“Pekan ni asalnya ladang getah dan diusahakan oleh pengurus Bristish. Ketika itu tanah ini milik orang perseorangan,”katanya.
Katanya, di sekeliling tanah tersebut, wujudnya kediaman pekerja ladang dan ladang getah yang dinamakan ladang pelam.
“Orang sini panggil pengurus tu sebagai Tuan Dot.
“Bila wujudnya ladang, Tuan Dot telah menyediakan beberapa buah kedai kepada para pekerja ,”katanya.
Raman berkata, pada tahun sama, penduduk tempatan telah membina dan merancakkan ekonomi di situ dengan pembinaan beberapa deretan bangunan kedai.
“Lama kelamaan dengan penambahan penduduk dan kediaman, kawasan ladang ini telah menjadi sebuah pekan,”katanya.
Rumah pekerja ladang di pekan Malau

Raman berkata, pemilikan ladang oleh British telah bertukar kepada sebuah syarikat Cina.

“Ladang tu dijual syarikat British kepada syarikat Taiko Plantation pada tahun di antara 1969 hingga 1970.

“Sejak tu Tuan Dot pulang ke negara asal. Dia baik dengan penduduk kampung. Banyak benda dia tolong orang kampung,”katanya.

Menurutnya, pada tahun 80 an, ladang itu diambil alih oleh syarikat Kuala Lumpur Kepong ( KLK).
“KLK beroperasi sampai sekarang, syarikat ni banyak ladang di dalam Malaysia,”katanya.
Digelar Pekan Koboi
Menurutnya, pekan ini digelar penduduk pekan koboi dalam kalangan penduduk tempatan.
Katanya, wajah pekan ini tidak banyak berubah dan ia kelihatan sama seperti dulu.
“Tak banyak yang berubah, orang tempatan panggil pekan koboi sebab pekan ni masih berhabuk.
“Pembangunan pun berkurang, balai polis lama dibina tahun 50 an masih ada sampai sekarang. Dulu kecil sekarang dah besar sedikit,”katanya.
Raman berkata, keunikan pada pekan ini tetap ada terutamanya pekan sehari setiap jumaat.
Menurutnya, kehadiran pelanggan mencecah ribuan orang setiap masa.
“Pekan sehari ini usianya sama dengan pekan lama. Setiap pagi jumaat cukup ramai dan meriah.
“Daripada dulu sampai sekarang keadaannya lebih kurang sama saja. Inilah keunikan pekan ini,”katanya.
Katanya, pondok Syeikh Daud yang terletak dalam pekan ini turut mewarnai corak kehidupan masyarakat di sini.
“Usia pondok ni pun lebih kurang sama, dulu pelajarnya ramai, sekarang sekitar 30 orang saja,”katanya.
Pasar pagi setiap Jumaat
Stesen minyak lama
Pengusaha stesen minya, Normanhoze Abdul Rahim berkata, dia mengusahakan sebuah stesen minyak yang wujud sejak era 80 an.
“Saya ambil alih sejak tiga tahun lepas daripada taukenya, jika boleh saya nak kekalkan identiti stesen ni. Sayang nak tukar.
“Mesin pam juga tak pernah ditukar sebab tak pernah rosak langsung. Mesin ni buatan negara Jerman,”katanya.
Menurutnya, stesen minyak itu juga menarik perhatian  pelanggan.
“Orang sini dah biasa, jika orang luar yang mai isi minyak depa akan tanya sejarah stesen ni,”katanya.
tamat
rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.