Pedang samurai, parang dan sejumlah rokok dirampas PGA

Parang dan pedang samurai yang dirampas

TAWAU-Tiga bilah pedang samurai, tiga bilah parang dan enam bilah pisau serta rokok seludup pelbagai jenama dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa lalu.

Pegawai Pemerintahan Batalion 14 PGA Tawau, Supt Mohd Yacob Murad berkata, kesemua barangan itu disembunyikan dalam sebuah rumah tidak bernombor di sebuah ladang di Benta Wawasan.

“Serbuan dijalankan menerusi Op Benteng selepas menerima maklumat awam ketika sepasukan anggota PGA menjalankan tugas Road Check Point (RCP) dan Ronda Jarak Jauh (RJJ) di Jalan Kalabakan – Sapulut kira-kira pukul 1.15 pagi,”katanya yang dipetik daripada BestTawauFM hari ini.

Beliau berkata, seorang suspek lelaki berusia 45 tahun pemegang pasport berada dalam rumah berkenaan ditahan.

Menurutnya, lelaki berkenaan bekerja
sebagai ‘Mandor’ di ladang berkenaan.

“Serbuan turut disertai seramai lima anggota Penguatkuasa Keselamatan ladang terbabit.

“Serbuan yang dijalankan di rumah tersebut turut menjumpai 49-karton rokok pelbagai jenama iaitu jenama Premium, Menara Dunia, LA Hijau, LA Merah dan Astro Merah,”katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM5,274
dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Rentas7.com/ Foto: RTM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.