19 PATI termasuk kanak-kanak tujuh tahun ditahan

Kesemua PATI ini ditahan dalam serbuan ATM semalam

BANDAR PENAWAR-Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang berusia tujuh hingga 66 tahun ditahan dalam satu serbuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.

Serbuan dilakukan di Sungai Buntu, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

Sel Perhubungan Raya, Divisyen Ketiga Infantri Malaysia berkata, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) berjaya mengesan pergerakan bot dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulau Batam menuju ke Sungai Buntu, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

“Hasil maklumat tersebut, Tim Quick Reaction Force (QRF) yang diaturgerak berjaya menahan 11 PATI di Pantai Sg Buntu manakala beberapa orang lagi berjaya meloloskan diri.

” Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut membantu membuat rondaan di laut bagi mengelakan PATI meloloskan diri menggunakan laluan laut,”katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan berkata, hasil penjejakan yang dilakukan, seramai 8 PATI berjaya ditahan tidak lama kemudian menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang ditahan adalah 19 orang.

“Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki, 6 wanita dan seorang kanak-kanak berusia sekitar 7 hingga 66 tahun dan dipercayai baru tiba ke negara ini.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 22,856.95 melibatkan wang tunai Ringgit Malaysia berjumlah RM 8,928.60 dan matawang Indonesia berjumlah IDR 13,275,700.00 (RM 4,079.12), 20 buah telefon bimbit serta beberapa utas barangan kemas,”katanya.

Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk pemeriksaan lanjut dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.