Dikecam netizen, Pejabat Menteri Besar Kedah jelas kenyataan sebenar Sanusi

ALOR SETAR– Pejabat Menteri Besar Kedah menjelaskan perkara sebenar berhubung salah faham netizen terhadap isu balak yang disiarkan sebuah portal berita hari ini.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata, berita bertajuk ‘Kedah sedia pertimbang buka kembali konsesi balak’ telah mencetuskan kekeliruan dan polemik dalam kalangan netizen.

“Bukanlah satu cadangan untuk kerajaan negeri membuka kawasan baharu pembalakan.

“Ia hanya cadangan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit setelah kelulusan konsesi pembalakan yang diberikan kemudian dibatalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini sedangkan syarikat-syarikat berkenaan telah membayar premium,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, kenyataan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dalam sidang media di Wisma Darulaman, Alor Setar yang disiarkan sebuah portal berita mengundang kecaman netizen kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, masalah berbangkit akibat daripada pembatalan konsesi balak sebelum ini memberikan dua implikasi kepada kerajaan negeri.

“Berikutan itu, implikasi yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan negeri sama ada berhadapan dengan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi ataupun menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat-syarikat konsesi berkenaan.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri bertegas bahawa kawasan lain yang diganti itu mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa,”katanya.

Mat Yakim berkata, kebajikan rakyat menjadi keutamaan di mana kerajaan negeri akan memastikan kehidupan mereka tidak terganggu.

“Keutamaan kerajaan negeri ialah kehidupan rakyat akan dipastikan tidak terganggu, tiada pencemaran, tidak ada penggondolan, hakisan, banjir lumpur dan lain-lain akibat yang boleh membawa kemusnahan kepada alam sekitar dan kehidupan manusia sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang,”katanya.

Katanya, langkah-langkah ini akan diberi perhalusi dan diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Ini kerana jika kita bersedia untuk membayar tuntutan ganti rugi yang dianggarkan mencecah nilai RM1bilion, hal kawasan ganti itu tidak timbul,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.