Syahmi merendah diri filem pertama

KUALA LUMPUR-Pelakon dan pengarah filem, Syahmi Sazli mengambil sikap merendah diri menjelang tayangan Mael Totey The Movie bermula jam 12 malam ini.

Syahmi berkata, barisan pelakon yang ditampilkan dalam filem ini tanpa bakat yang besar dan pengalaman yang luas.

“Kami bergandingan dalam Mael Totey The Movie hanya untuk menghiburkan pengikut yang selama ini menyokong cara kami berkarya.

“Ya, mungkin ada yang mempersoalkan tentang sambutan naskah ini yang dianggap tidak akan ke mana oleh kerana tiada muka-muka yang gah dalam barisan pelakon,” katanya.

Syahmi yang merupakan penggiat filem pendek di YouTube itu berkata, sambutan sesebuah filem bagi dirinya tidaklah sepenuhnya bergantung kepada barisan pelakon.

“Tetapi Mi percaya ianya bergantung kepada kualiti penyokong dan peminat.

“Besar kepercayaan Mi bahawa kualiti yang ada pada pengikut kami tidak perlu dipertikai lagi,” katanya.

Syahmi berkata, secara peribadi beliau amat berpuas hati dengan filem pertamanya itu.

“Filem ini tidak lah akan se-gah dan setaraf dengan filem lain. Mi masih kekalkan identiti karya Mi sebelum ini cuma berlainan dari segi shot, kualiti visual, durasi, lakonan agak lembut sedikit, dan beberapa lagi.

“Kualiti filem ini mungkin tidak akan dibanggakan tapi Mi secara peribadi berpuas hati kerana berani menyajikan karya yang tidak ramai orang buat,” katanya.

Secara jujurnya, beliau tidaklah mengharapkan kutipan yang tertinggi bagi filem ini namun dalam masa berharap karya itu tidak dicetak rompak dan ia dilanggan secara sah oleh penonton.

“Mungkin ramai yang anggap benda ni mustahil pada zaman dunia tanpa sempadan ni tapi Mi percaya dengan kualiti pengikut Mi dan team, cetak rompak akan dapat dibanteras.

“Mereka akan langgan yang sah walaupun terjumpa yang cetak rompak. Mi mohon, langgan yang sah demi menghormati usaha kami.

“Akhir kata dari Mi, tontonlah filem pertama arahan/terbitan Mi ni dengan hati, fikiran yang tenang, lapang dan jauhi iri hati. Semoga penonton dapat adapt dengan karya pertama Mi ni. Bismillah. Semoga bermanfaat,” katanya.

Filem Mael Totey yang sebelum ini bersiaran menerusi drama pendek di YouTube bakal menemui penonton dengan melanggan siaran Astro First saluran 480 bermula jam 12 malam.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.