Nyawa 30 nelayan diselamatkan

Bot dinaiki 30 nelayan termasuk tekong ini hampir karam setelah terlanggar objek

LANGKAWI– Seramai 30 nelayan tempatan berusia 25 hingga 50 tahun termasuk tekong berdepan pengalaman ngeri apabila bot dinaiki mereka hampir karam setelah terlanggar objek, hari ini.

Kejadian berlaku pada kedudukan 0.3 batu nautika utara Pulau Singa Besar, Langkawi jam 6.50 pagi.

Ia melibatkan bot kayu berukuran 22.79 meter panjang dan 7.11 meter lebar milik syarikat Langkawi Marine Products Sdn. Bhd yang berpangkalan di Bukit Malut, Langkawi.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdulllah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian dan koordinasi daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi.

Susulan itu, Kapal Maritim (KM) Tenggol telah diatur gerak ke lokasi kejadian, maklumat turut disalurkan kepada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

“Dalam kejadian pagi tadi, bot nelayan tempatan Kelas A bernombor pendaftaran KHF 1399 (Bot Bilis) bersama dua buah bot yang lain dalam perjalanan ke laut bagi melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Namun bot terbabit, telah terlanggar objek yang dipercayai batu, lalu terkandas dan menyebabkan bot tersebut hampir karam di kawasan Pulau Singa Besar, Langkawi. Berikutan itu, pemilik bot, Lee Ching Cheong telah menghubungi MRSC Langkawi bagi mendapatkan bantuan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejurus KM Tenggol tiba di tempat kejadian, 30 kru termasuk tekong berkenaan telah diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada di sekitar turut pada masa itu.

Menurutnya, kesemua mangsa memakai jaket keselamatan ketika insiden itu.

“Kesemua mereka dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan dipindahkan ke KM Tenggol.

“Proses menyelamatkan bot bermula dengan usaha-usaha menaikan pukat dan memindahkan peralatan menangkap ikan ke bot nelayan tempatan yang lain,”katanya.

Beliau berkata, semua mangsa diserahkan kepada pihak majikan sebaik tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut.

Rentas7.com/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.