“Sikap Anwar dan Mahathir punca PH tumbang di Kedah”

Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad

KUPANG– Tumbangnya Pakatan Harapan (PH) di Kedah berpunca daripada natijah konflik dalam kompenan parti tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigadier Jeneral, Datuk Najmi Ahmad berkata, konflik itu ditimbulkan sendiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kesilapan bekas Perdana Menteri dan Presiden PKR itu menyebabkan parti mereka terpecah dengan sendirinya.

“Penyertaan ADUN Pro Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua ADUN bekas ahli PKR di DUN Kedah adalah natijah dari konflik dalaman kedua-dua parti tersebut.

“Ia berpunca dari sikap dua individu Mahathir dan Anwar yang tidak memikir dan memperdulikan kepayahan rakyat, tetapi mereka hanya pentingkan diri untuk memenuhi cita-cita politik mereka semata-mata,”katanya kepada Rentas7.com.

Najmi berkata, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) Kedah mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan berkesan dalam tempoh tiga tahun yang masih terbaki.

“PAS mempunyai bilangan kerusi yang terbanyak iaitu 15 dari 36 kerusi, maka wajar diberi peluang mengetuai gabungan baru membentuk kerajaan PN menggantikan PH yang tergugur secara ligalnya akibat hilang kepercayaan sebahagian daripada ADUN-ADUN mereka terhadap Mukhriz Mahathir,”katanya.

Najmi berkata, peristiwa yang berlaku sepanjang 24 bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 adalah merupakan “wake up call” kepada kaum Melayu.

“Orang Melayu semakin sedar bahawa soal kepimpinan bukan suatu yang boleh diukur dan dinilai melalui persepsi, tapi ia harus dinilai melalui ilmu, pengamatan dan natijah akhir dengan berpandukan kepada qudwah nubuwwah,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beliau dan rakan-rakan dalam PN perlu menggunakan masa yang ada untuk berusaha lebih gigih dan menentukan keutamaan dalam tindakan selari dengan hasrat kerajaan negeri dan Pusat.

“Ia penting dalam kerangka membina semula negara selepas dilanda musibah COVID-19 19.

“Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua dalam mendepani masa depan yang tentunya banyak cabaran dan dugaan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.