Najib mahu cadang kaedah baru tangani COVID-19

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR– Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpandangan kerajaan terlalu bergantung kepada vaksin tanpa memberi perhatian wajar menangani COVID-19.

Justeru itu Najib berkata, beliau mempunyai cadangan untuk dibawa ke Parlimen pada hari Khamis bagi meredakan dengan pantas keadaan yang amat perit, muram dan seram ketika ini.

Beliau berkata, kes aktif sudah mencecah 170,000 rekod tertinggi setakat hari ini, hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding sebulan dahulu.

“Pada pendapat saya, kerajaan PN (Perikatan Nasional) terlalu taksub dengan PPN (Pelan Pemulihan Negara) mereka dan bergantung penuh pada vaksinasi.

“Sehingga keadaan semasa yang semakin bertambah parah tidak diberi perhatian dan pembetulan mendesak yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya malam ini.

Beliau berkata, kes baharu mencecah 16,000 dan kematian melebihi 200 nyawa sehari seakan-akan sedang jadi kebiasaan yang sudah diterima kerajaan sekaligus menjadikan rekod tertinggi ketika ini.

“Jumlah kluster baharu dikesan sebanyak 42. Rekod tertinggi.

“Masalah kapasiti hospital tercecah juga belum reda. Hari-hari tersebar video keadaan hospital yang menyakitkan hati,” katanya.

Beliau berkata, setiap hari ada berita rakan sekerja, kawan, kenalan atau saudara yang dijangkit atau telah hilang nyawa akibat Covid.

“Rakyat biasa semakin takut untuk keluar rumah tetapi semakin tidak berduit setelah berkurung 77 hari sejak PKP 3.0 bermula. Nak ‘lockdown’ lebih ketat, Rakyat tak berduit.

“Tak ‘lockdown’ ketat, keadaan semakin mengerikan,” katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.