Warga India, Bangladesh kerja secara haram ditahan Imigresen

12 PATI yang ditahan semalam

PETALING JAYA– Pendatang asing tanpa izin (PATI) terus digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kali ini melibatkan 12 warga India termasuk Bangladesh.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari semalam, JIM dengan kekuatan 31 pegawai menggempur sebuah stesen minyak yang mempunyai kiosk makanan dan juga pusat cuci kereta.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, enam warga India dan enam warga Bangladesh ditahan dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, mereka didapati tidak memiliki permit yang sah untuk bekerja di situ selain menyalahgunakan pas atau permit yang sedia ada.

“Hasil maklumat dan risikan awal, terdapat warganegara asing bekerja sebagai juruwang, tukang masak, tukang cuci kereta dan juga sebagai pekerja barisan hadapan di premis tersebut.

“JIM telah bertindak mengadakan operasi penguatkuasaan dengan mengadaptasi tatacara kerja dengan norma baru serta mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19,”katanya.

Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya untuk menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.

“Setelah selesai ujian saringan dan menerima keputusan yang menyatakan negatif dari COVID-19, kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi,”katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.