Keamanan negara dalam keadaan terkawal

Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR– Keamanan di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal meskipun Malaysia termasuk dalam senarai ancaman keselamatan oleh Rejim Zionis Israel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Menurutnya, KDN juga mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.

“Sehubungan itu, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi- agensi keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di dalam negara.

“Saya menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama jelasnya, kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin.

Malaysia dimasukkan bersama Qatar, Iran dan Turki oleh rejim Zionis Israel sebagai negara sasaran membunuh organisasi Hamas.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.