Muhyiddin kantoikan Shafie Apdal

KUALA LUMPUR– Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak pernah ditawarkan menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti mana didakwa oleh Ketua Menteri Sabah itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan perkara tersebut dalam satu kenyataan media hari ini.

“Merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Shafie Apdal dalam wawancara beliau dengan Malaysiakini pada 4 Julai 2020.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah sekalipun menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada beliau pada bulan Mac selepas saya menjadi Perdana Menteri, seperti didakwa,”katanya.

Beliau berkata, kenyataan Shafie Afdal sama sekali tidak benar seperti mana disebut dalam wawancara itu.

“Dalam wawancara sama yang menyatakan:, “beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu” sebagai tidak benar. Kenyataan itu adalah andaian beliau semata-mata,”katanya.

Dalam wawancara berkenaan, Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) menyebut tawaran itu dibuat dua minggu selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk.

Dalam laporan Malaysiakini, Muhyiddin dikatakan Shafie telah menghubunginya bagi mengatur pertemuan antara mereka.

Shafie bagaimanapun mengakui Muhyiddin tidak menyebut perkara itu tetapi beliau mengetahui dengan sendirinya.

“Beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu,”katanya.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.