Sebanyak 2,150 penyertaan kempen kesedaran COVID-19

PUTRAJAYA – Dalam usaha menerapkan budaya norma baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Kempen Kesedaran COVID-19 akan dilancarkan di seluruh negara.

Pelancarannya bakal disempurnakan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin yang dijangka awal Ogos ini.

Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama-sama Jabatan Penerangan Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline Kempen Kesedaran COVID-19, yang memberi peluang dan ruang kepada semua rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam
mahupun luar negara, untuk menzahirkan kreativiti mereka.

Sebanyak 2,150 penyertaan diterima dalam Pertandingan ini yang telah dibuka pada 1 Julai 2020 hingga 10 Julai 2020.

Logo dan tagline akan disenarai pendek oleh para juri untuk diangkat kepada pertimbangan YAB Perdana Menteri dan seterusnya menjadi identiti rasmi sepanjang Kempen Kesedaran COVID-19.

Antara kriteria utama pemilihan lima (5) logo yang disenarai pendek adalah berdasarkan kreativiti, keaslian ciptaan dan rasional logo berdasarkan tagline.

Semua penyertaan logo dinilai oleh panel juri bertauliah iaitu:

1. YM Profesor Dato’ Raja Zahabuddin bin Raja Yaakob, Ahli Lembaga Galeri Shah Alam;

2. YBrs. Profesor Dr. Mohamad Hariri bin Hj Abdullah, Pengarah Majlis Rekabentuk Malaysia ; dan

3. Encik Mohd Roffee bin Mohamad,
Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka Jabatan Penerangan Malaysia.

Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM5,000, tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000.

Hadiah akan disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran COVID-19.

Sambutan penyertaan daripada orang ramai yang amat membanggakan ini membuktikan kesepakatan dalam menghadapi situasi ini.

Penyertaan logo ini disertai masyarakat pelbagai kaum yang berusia 15 tahun ke atas.

Antara yang menarik adalah penyertaan daripada seorang warga emas berusia 64 tahun manakala penyertaan paling muda adalah daripada pelajar sekolah berusia 13 tahun, walaupun penyertaan hanya terbuka kepada pelajar bermula 15 tahun.

Turut diterima adalah penyertaan sebanyak 127 logo daripada saudari Nurul Furqan, 31, yang berasal dari Kedah.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengucapkan terima kasih atas penyertaan logo dan tagline kempen ini daripada orang ramai dan berharap agar masyarakat terus menyokong usaha menerapkan budaya norma baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak itu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.