Jangan hanya berani dengan bangsa sendiri!

Mustaffa menuntut pihak berkuasa lebih adil dan saksama dalam menjalankan operasi dan tindakan

KUALA LUMPUR– Seperti mana ketegasan kepada peniaga-peniaga kecil, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dituntut supaya bersikap yang sama kepada peniaga haram warga asing termasuk dalam merobohkan pembinaan kuil haram.

Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, DBKL dinasihati tidak hanya berani dengan peniaga tempatan yang mencari sesuap nasi.

“Jika mahu tegas, PAMM tuntut supaya tegas kepada semua pihak. Jangan hanya berani kepada peniaga tempatan sedangkan tidak berani dan pengecut dengan warga asing.

“Isu-isu pembinaan kuil haram juga perlu diberikan ketegasan. Jika ada pembinaan haram segera robohkan, kerana kelemahan penguatkuasaanlah banyak kuil-kuil haram tumbuh seperti cendawan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, asas kemarahan rakyat kepada penguatkuasaan bukanlah kerana kekerasan semata-mata, tetapi berpunca daripada penguatkuasaan yang tidak adil dan berat sebelah.

“PAMM menuntut pihak DBKL tidak ‘kambing hitam’ peniaga tempatan dalam isu-isu pencegahan, sebaliknya tidak tegas dengan peniaga-peniaga Rohingya dan warga-warga asing lainnya.

“Jangan kerana sikap dan sifat ‘double standard’ akhirnya akan menaikkan kemarahan rakyat yang sentiasa memerhati tindak tanduk pihak penguatkuasaan.

“Lemah dan berat sebelah tindakan diambil atau sebarang tindakan daripada pihak penguatkuasaan merupakan cerminan kepada kerajaan sedang berkuasa,”katanya.

Mustaffa berkata, lebih banyak isu-isu berbangkit akan timbul selepas ini.

“Isu-isu seperti ini tidak akan berhenti begitu saja. Akan timbul lebih banyak isu sekiranya beginilah sikap penguatkuasaan kita yang tidak tegas dengan warga asing, tetapi melayan peniaga sendiri seperti warga asing.

“Selagi penguatkuasaan dan kerajaan lemah dalam mengawal menyelia warga-warga asing tetapi mengambil tindakan kepada peniaga tempatan, maka rakyat akan hilang hormat kepada anda,”katanya.

Terdahulu tular isu tindakan diambil terhadap peniaga-peniaga kecil seperti peniaga tisu di Daratan Merdeka dan terbaru peniaga belon di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Selain itu isu penguatkuasaan yang menjadi kontroversi termasuklah di Port Dickson, Negeri Sembilan, di mana pihak berkuasa ingin merampas petai-petai daripada seorang warga emas yang sedang berniaga.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.