Mi udang harimau tarikan baru Kuala Ketil

Jom pakat mai ke Sabar Menanti

KUALA KETIL-Dahulunya kawasan ini hanyalah belukar dan paya, namun siapa sangka kini ia menjadi sebuah kedai makan yang menjadi tumpuan ramai pelanggan.

Menyajikan pelbagai menu makanan, kedai makan Sabar Menanti di sini terletak di tepi jalan utama Kuala Ketil- Parit Panjang dalam kawasan Kampung Tembak A.

Pemilik perniagaan Sabar Menanti, Mohd Asri Hassan,51, berkata, dia mula menjalankan perniagaan di kedai itu pada Julai lalu.

Menurutnya, kawasan berkenaan sebelum ini hanya paya dan belukar, tetapi sejak beberapa tahun lalu tiga buah premis termasuk kedai makannya mula dibina di situ.

“Selama 18 tahun saya berniaga di pekan lama Pulai kemudian meneruskan perniagaan di Sungai Limau Baling.

“Pada Julai tahun ini, barulah saya mula menyewa premis di sini. Alhamdulillah sambutan diterima daripada masyarakat amat menggalakkan,”katanya kepada wartawan Rentas7.com.

Tinjauan mendapati kedai makan di sini sering penuh dengan kehadiran pelanggan terutamanya pada waktu malam.

Ia dibuka setiap hari kecuali Sabtu.

Bagaimanapun, Mohd Asri akan memastikan setiap pelanggan yang datang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Kewujudan kedai makan ini boleh dikatakan menjadi tarikan baru Kuala Ketil yang terletak dalam daerah Baling.

Tiga menu utama pikat pelanggan

Asri yang mesra membahasakan diri sebagai Abang Yi berkata, tiga daripada pelbagai menu disediakan mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

“Ada banyak menu, tapi yang terlaris ialah mi udang, char kuetiau dan mi bandung “gearbox”.

“Macam mi udang saya akan gunakan udang harimau yang segar dan bersaiz besar,”katanya yang memulakan perniagaan jam 4 petang hingga 12.00 malam jika diluar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mi udang harimau yang disediakan di Sabar Menanti

Menurutnya, harga ditawarkan bagi semua jenis makanan berpatutan.

“Bagi mi bandung “gearbox” , saya akan jual ikut saiz tulang. Harganya bermula dari RM15 hingga RM 25 untuk sepinggan.

“Jika mi udang pula harganya RM10 sepinggan manakala char kuetiau pula berharga RM4.50 sepinggan,”katanya yang dibantu empat pekerja.

Salah seorang pelanggan menikmati hidangan di Sabar Menanti

Tambahnya, pada awal perniagaan di situ, kedai makannya ada menyediakan hidangkan roti canai telur meleleh.

Menu itu kata Asri, antara tarikan utama pelanggan namun disebabkan kekurangan tenaga kerja ia tidak dapat disediakan lagi buat waktu ini.

Mula dari bawah sebelum berjaya

Seperti kata pepatah Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Begitulah juga perumpamaan di sebalik kisah perniagaan Abang Yi yang kini semakin maju.

Katanya, dia mula mencari pengalaman di kedai makan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelanggan gemar memilih waktu malam untuk datang ke kedai ini

‘”Mula-mula kerja di kedai orang tu memang saya mula daripada bawah, memang tak tau apa. Cuma lap pinggan mangkuk dan cedok nasi untuk pelanggan.

“Lama kelamaan saya diberikan tugas membancuh air sampailah diberikan kepercayaan untuk tebar dan membuat roti canai.

“Tu pun mula-mula tolong orang uli tepung, buh planta dan lain-lain. Lama juga ambil masa sebelum nak jadi cekap,”katanya.

Sabar Menanti sentiasa menjadi tumpuan pelanggan

“Saya mula mengusahakan kedai sendiri di usia 30  tahun iaitu pada tahun 1997 dan alhamdulillah bertahan sehingga hari ini,”katanya.

Sungguh berbaloi mai sini

Sementara itu, pelanggan Mohd Nor,45, berkata, dia sudah beberapa kali pergi ke kedai tersebut semata-mata mahu menikmati hidangan disediakan.

“Mi udang dan char kuetiau di sini memang amat sedap. Berbaloi sangat. Siapa yang datang ke daerah Baling tak singgah kedai ni memang rugi.

Pelanggan tidak kira usia gemar datang ke Sabar Menanti untuk menikmati selera

“Pelayan kedai makan di sini pun baik-baik belaka. Saya boleh bagi lima bintang la untuk makanan dan perkhidmatan disediakan,”katanya.

Seorang lagi pelanggan, Muhammad Abdul,31, berkata, jarak yang jauh tidak menghalangnya untuk datang menjamu selera.

“Saya duk di luar Baling, tapi beberapa kali juga mai sini. Saya paling suka charkuetiau dan mi udangnya. Lepas ni nak cuba rasa mi bandung “gearbox” dan lain-lain pula,”katanya.

Mereka yang ingin ke kedai ini atau memesan makanan boleh hubungi Mohd Asri di talian 0195050411.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.