Kebakaran kilang plastik, SWCorp mulakan siasatan

Kebakaran di kilang berkenaan

SUNGAI PETANI-Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan menyiasat secara terperinci kes kebakaran di sebuah kilang pemprosesan plastik kitar.

Kejadian berlaku di kawasan perindustrian PKNK Taman Ria Jaya, Sungai Petani pada jam lebih kurang 1.15 pagi tadi.

Exco Alam Sekitar Kedah, Dr. Robert Ling berkata, beliau difahamkan kebakaran berlaku pada kawasan simpanan barang kilang berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia cawangan Amanjaya dan beberapa Pasukan Bomba Sukarela dari sekitar Sungai Petani termasuk dari Bukit Mertajam membantu operasi memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berdekatan.

“Pihak Forensik daripada Jabatan Bomba masih menyiasat punca kebakaran buat masa ini .

“Pihak SWCorp juga akan menyiasat secara terperinci isu ini dan akan memastikan pihak kilang menguruskan sisa-sisa kebakaran ini diuruskan dengan baik mengikut prosedur yang ditetapkan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan aktif mengemaskini keadaan kualiti udara di Sungai Petani berikutan insiden berkenaan.

Menurutnya, JAS memaklumkan bahawa indeks kualiti udara masih dalam ketegori baik.

“Pejabat Kesihatan Daerah melalui Pegawai Kesihatan Daerah juga akan turut membantu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kesan kebakaran ini kepada masyarakat,”katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam membantu operasi pemadaman pada pagi ini dan laporan daripada setiap agensi.

“Terima kasih juga kepada Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sungai Petani yang berhubung terus secara rapat dengan saya dan sampai ke kawasan kejadian sejak jam 4.00 pagi sehingga hampir selesai operasi pemadaman,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.