Mercun sempena Tahun Baru Cina dirampas

PPM Wilayah 2 menunjukkan mercun yang dirampas

JOHOR BAHRU– Pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM87,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 awal pagi tadi.

Serbuan Op khas sempena perayaan Tahun Baru Cina itu dibuat di kawasan Taman Puteri Wangsa di sini.

Komander ACP Muhd Zailani Abdullah berkata, sebuan pada jam 12.15 pagi telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang disyaki menyimpan sejumlah mercun bagi jualan pasaran tempatan sempena perayaan tersebut.

“PPM Wilayah 2 yang sedang dalam Op. Khas Sempena Perayaan Tahun Baru Cina bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyimpanan mercun terbabit.

“Pemeriksaan ke atas sebuah premis telah menemui sejumlah 67 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM 87,000.00,”katanya.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah kesalahan Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, PPM Wilayah 2 turut menyeru masyarakat untuk sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamanya PPM Wilayah 2 bagi membenteras sebarang bentuk jenayah terutamanya melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07-2372221,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.