‘Makan tahun’ gangguan air, penduduk tuntut isu mereka diutamakan

Mustaffa kiri bersama Parti Warisan Negeri Kedah bertemu penduduk bagi mendengar masalah dihadapi semalam

MERBOK-Penduduk Taman Lembah Permai Sungai Lalang di sini hidup dengan gangguan bekalan air bersih.

Difahamkan, masalah itu berlarutan lama tanpa penyelesaian terbaik.

Seorang penduduk berkata, masalah itu sudah ‘makan tahun’ dipercayai kerana penambahan taman-taman baru.

“Air tempat kami ni ada, tetapi perlahan. Mungkin kerana tekanan air kurang.

“Bila malam ramai yang pakai, jadi ada lorong perumahan yang langsung tidak dapat menerima bekalan air kerana air sudah tidak dapat naik ke tangki,”katanya.

Penduduk berkata, masalah itu memaksa dalam kalangan mereka membeli pam air .

Terdahulu, Parti Warisan Malaysia Negeri Kedah melakukan tinjauan dan mengadakan pertemuan dengan penduduk.

Sesi pertemuan itu menjadi tempat luahan penduduk supaya masalah mereka diatasi segera.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk Taman Lembah Sungai Lalang, Bahari Mansor berkata, mereka amat kecewa apabila wakil rakyat DUN dan Parlimen Kawasan itu tidak mengambil berat masalah penduduk di taman itu.

“Parlimen Merbok dan DUN, apa dia (wakil rakyat) buat? Langsung tak buat. Jenguk mata pun dak.

“Jadi kami rasa kecewa kerana bagi depa menang. Saya sebagai rakyat hati rasa sakit dan kecewa,”katanya.

Pengerusi Parti Warisan Negeri Kedah, Dato’ Fadhil Hanafi berkata, beliau sedih apabila mendapat tahu penduduk di taman itu sudah bertahun-tahun tidak dapat menikmati bekalan air bersih dengan sempurna.

Datuk Fadhil Hanafi berucap dalam pertemuan bersama penduduk

Menurutnya, beliau difahamkan wakil penduduk sudah berjumpa dengan pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) tetapi dijadikan seperti ‘bola’.

“Isu ini kita akan bawa sampai ke atas. Masalah ini pun sudah diketahui Menteri Besar Kedah.

“Isu air ini isu asas, jadi kita minta ia diselesaikan secepat mungkin,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah berkenaan sekiranya bersimpati kepada rakyat.

Katanya, UMNO telah menerima hukuman daripada rakyat, dan kini pentadbiran negeri diketuai oleh Menteri Besar daripada PAS perlu mengambil berat masalah dihadapi rakyat.

Turut hadir, Pengerusi Biro Perhubungan Awam Negeri Kedah merangkap Naib Pengerusi 1 Parti Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.