Bukan masanya pertahankan kawan, PAMM gesa Zahid utamakan rakyat dan negara

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dinasihati mengutamakan nasib bangsa, agama dan tanah air bukannya mengutamakan kedudukan seorang kawan.

Pengerusi Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, negara bakal hancur sekiranya kedudukan kawan diutamakan berbanding perjuangan membela rakyat.

“Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi yang mendakwa pembangkang mengajaknya keluar, tetapi beliau lebih menjaga kawan, maka hancurlah negara,”katanya hari ini.

Zahid pada ucapan Konvensyen BN Wilayah Persekutuan pada kelmarin mendakwa ada cubaan pembangkang menawarkan sesuatu untuk membentuk kerajaan tetapi tawaran itu ditolak kerana enggan mengkhianati kawan.

Mengulas lanjut, Mustaffa berkata, seorang pemimpin beragama Islam wajib membela kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Kita bukan berjuang kerana kawan, tetapi kerana rakyat, negara dan agama.

” Jika dalam pentadbiran hari ini sudah menunjukkan taring-taring DAP untuk mengubah dasar kerajaan atau Perlembagaan Malaysia, kita tidak boleh menahan atau cuba mengukuhkan lagi kedudukan seorang kawan, tetapi kita keluarlah demi untuk bangsa, agama dan negara yang sangat kita cintai,”katanya.

Beliau berkata, seorang kawan yang telah lari daripada dasar perjuangan asal tetapi kedudukannya terus dipertahankan, maka rakyat dan negaralah menjadi mangsa.

“Sebagai seorang pemimpin yang boleh  mengubah kedudukan negara, kita kena ikut apa yang telah kita janjikan.

“Apa lagi apabila kita telah bersumpah untuk menjaga kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara. Jangan kita cuba mengikut segala rentak pihak berkenaan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.