Layanan Malaysia terbaik!

ALOR SETAR-  Cara Malaysia melayani pelarian perang dikagumi masyarakat dunia antarabangsa bahkan paling penting menuruti syarak.

Penceramah, Dr Syeikh Abdullah Ali Al Yamani berkata, masyarakat dunia terutamanya bangsa Arab menyanjungi Malaysia kerana meletakkan nilai kemanusian di tahap tinggi.

Menurutnya, perkara itu selari dengan tuntutan syarak dan membuktikan negara ini mempunyai asas Islam yang baik.

Malaysia yang menggunakan cara kemanusian bagi melayani pelarian dari luar ke negara ini sebenarnya selari dengan tuntutan Islam.

“Saya lihat dan dengar layanan diberikan kerajaan Malaysia di tahap tinggi. Layanan seperti ini jarang ada di negara lain,”katanya.

Syeikh Dr Abdullah berpandangan negara ini melayani pelarian dengan baik

Katanya, tidak semua negara dapat menerima pelarian perang walaupun di mata masyarakat kepimpinan negara itu disegani.

“Ada negara yang tahap layanannya sama seperti Malaysia, ada yang kurang dan ada yang tiada langsung sifat kemanusian,”katanya.

Abdullah berkata,  dalam sudut lain mungkin tidak disedari ramai, Malaysia dapat menerima pelarian dari Syria.

“Di negara utama Asia Tengah, ada negara yang menerima pelarian lain tetapi tidak membenarkan rakyat Syria masuk ke negaranya.

Lelaki dari Yaman ini gembira tinggal di Malaysia

“Ia mungkin atas beberapa faktor tertentu, tetapi di Malaysia pelarian Syria dapat hidup dengan aman selain dilayani sebagai manusia,”katanya.

Beri pendidikan kepada pelarian

Syeikh Abdullah berkata, kerajaan Malaysia mengamalkan sikap profesional dalam membantu pelarian walaupun tidak dapat membantu secara langsung.

“Dasar tertentu tidak membenarkan pelarian bekerja, berniaga dan lain-lain di Malaysia. Kita fahami kekangan itu, akan tetapi di sebalik tadbir, kerajaan mengalu-alukan bantuan pihak NGO.

“Sedikitpun tiada halangan kerajaan terhadap NGO untuk membantu khususnya dalam soal pendidikan atau makanan,”katanya.

Abdullah berkata, atas usaha NGO di negara ini, pendidikan kepada pelarian dilakukan secara terurus melalui penyediaan sekolah kepada mereka.

“Contohnya di Sungai Petani Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)  menyediakan sekolah kepada anak-anak pelarian,”katanya.

Tambahnya, NGO berdaftar juga dibenarkan kerajaan mengumpul sumbangan bagi disalurkan kepada pelarian di negara ini atau luar.

“Seperti bulan Ramadan yang baru berlalu, banyak NGO Malaysia membantu menyediakan kelengkapan dan peralatan, makanan dan sebagainya kepada mangsa perang.

ALLAH berfirman dalam surah al-Israk ayat 70: Sesungguhnya kami telah memuliakan manusia. Apabila Malaysia memberikan hak kemanusian kepada pelarian-pelarian ini ia secara tidak langsung menunjukkan dunia ajaran Islam sebenar,”katanya.

Abdullah berkata, sebagai orang Yaman, beliau turut berbangga apabila kerajaan berbesar hati membantu saudara-saudara di Palestin menyambung pengajian di negara ini.

“Baru-baru ini juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bantuan biasiswa RM11.48 juta kepada pelajar Palestin menyambung pengajian di negara ini,”katanya.

Pelarian di zaman Rasulullah

Abdullah berkata, pada zaman  Nabi Muhammad S.A.W, lebih 80 sahabat termasuk kanak-kanak dan wanita diarahkan Baginda lari ke Habsyah dari Kota Makkah.

Menurutnya, ketika itu Makkah diancam hebat kaum kafir Quraisy.

“Apabila baginda melihat keadaan semakin teruk hingga tidak boleh keluar rumah, tidak boleh berniaga dan buat apa-apa maka arahan itu dikeluarkan.

“Nabi menyuruh mereka tinggalkan Makkah dan lari ke Habsyah kerana di sana ada seorang pemimpin yang adil dan tidak menzalimi siapa-siapa,”katanya.

Katanya, raja berkenaan yang waktu itu belum memeluk Islam akhirnya mengucapkan dua kalimah syahadah.

Kahwin dengan kerabat Diraja Kelantan

Menceritakan perjalanan hidup di negara ini, beliau mula datang ke negara ini pada hujung 2010 bagi melanjutkan pengajian master di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Alor Setar.

“Pada tahun 2015 saya diperkenalkan seorang hamba ALLAH dengan seorang kerabat Diraja Kelantan yang akhirnya membawa kepada perkahwinan pada tahun tersebut.

 Jemaah sebuah masjid bergambar kenangan bersama Syeikh Dr Abdullah dari kanan

Walaupun tinggal di sini, saya rasa seperti hidup di negara sendiri. Ini kerana orang Arab Yaman  dan orang Melayu tidak banyak perbezaan,“katanya.

Abdullah berkata, beliau kini banyak menghabiskan masa mengajar kuliah di masjid selain menghadiri program masyarakat.

Syeikh Dr Abdullah tiga kiri bersama Isteri dan keluarga mertua

“Saya sangat suka dengan aktiviti kemasyarakatan. Insya Allah jika dijemput hadir bagi sebarang program, saya akan hadir,”katanya.

* Laporan ini dipetik daripada Sinar Harian

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.