Lawan Kuwait, peluang Malaysia tebus maruah

Pemain naturalisasi menajamkan lagi taring Harimau Malaya

KUALA LUMPUR– Harimau Malaya perlu menggunakan peluang menentang Kuwait dalam perlawanan persahabatan malam esok sebagai misi membalas dendam terhadap pasukan itu.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2006.

Malaysia tewas dalam kedua -dua perlawanan yang diadakan pada 31 Mac 2004 di gelanggang sendiri dan 17 November 2004 di gelanggang lawan.

Skuad kebangsaan yang ketika itu dibarisi keseluruhan pemain tempatan tewas 2-0 pada perlawanan pertama sebelum dibelasah 6-1 di tempat lawan.

Bagaimanapun skuad kebangsaan yang bakal berdepan Kuwait esok dijangka memberikan tentangan sengit.

Kemasukan lapan pemain naturalisasi dilihat menambahkan lagi kekuatan skuad kebangsaan dalam menghadapi aksi kelayakan kali ini.

Samuel Somerville, Matt Davies, Corbin Ong, Junior Eldstal, Brendan Gan, Liridon Krasniqi, Mohamadou Sumareh, dan Guilherme De Paula sudah membuktikan kemampuan dengan kelab masing-masing.

Pengalaman Liridon, Junior dan Luqman Hakim Shamsudin serta beberapa lagi yang pernah bermain untuk pasukan luar negara menjadikan Harimau Malaya kali ini umpama pasukan serba lengkap.

Skuad kebangsaan menjalani sesi latihan ringan di hotel penginapan pagi tadi dan meneruskan sesi latihan terakhir malam ini.

Bagaimanapun, tempoh latihan singkat pemain akibat Perintah Kawalan Pergerakan termasuk pemain yang tidak dapat bersama sebelum ini kerana terikat dengan kelab masing-masing di luar negara mungkin akan menjejaskan keserasian di antara pemain.

Malaysia berada di ranking ke-153 manakala Kuwait di kedudukan 148 dunia.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.