Langkah caj cukai kepada pihak bank perlu diterima kerajaan

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Parti Warisan Negeri Kedah menyambut baik cadangan untuk kerajaan mengenakan cukai kepada pihak bank sememangnya mencatatkan untung besar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Warisan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Biro Perhubungan Awam Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, langkah itu paling sesuai dibuat berbanding mengenakan cukai kepada orang miskin.

“Kami menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Semporna yang juga Presiden Warisan supaya kerajaan mengenakan cukai kepada intitusi kewangan beruntung besar.

“Jika cukai GST dan seumpamanya  membeban dan menyeksakan rakyat miskin, tetapi dengan cukai kepada pihak kaya akan melegakan orang-orang susah,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, cadangan berkenaan perlu diterima kerajaan dan dilaksanakan secepat mungkin kerana hasilnya nanti boleh digunakan bagi membantu rakyat.

“Saya lihat tiada sebab mengapa cadangan ini tidak boleh diterima. Ia satu cadangan cukup baik daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Walaupun Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan ada menyebut dalam Dewan Rakyat bahawa pihak bank diminta oleh Perdana Menteri untuk menjalankan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada golongan B-40, ia bagi kami tidak membantu rakyat miskin secara menyeluruh.

“Kita mahukan hasil keuntungan daripada bank diagih sama rata kepada golongan B-40 dan caranya adalah dengan mengenakan cukai.

“Untuk itu Perdana Menteri perlu mengumumkan langkah ini pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2023 pada Khamis ini,”katanya.

Terdahulu, Shafie mencadangkan perkara itu pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Langkah itu kata Shafie bagi menambah pendapatan negara kerana institusi kewangan telah banyak kali meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan mencatatkan untung besar sejak COVID-19.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.