“Kedudukan saya tak penting, yang utama ialah jalankan amanah”- Muhyiddin

Muhyiddin berbual bersama Abdul Hadi pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN)

KUALA LUMPUR– “Dari mula menjawat jawatan Perdana Menteri, saya bertawakal kepada Allah,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Muhyiddin, kedudukannya bukanlah perkara yang utama.

“Kedudukannya saya tidak penting, tetapi bagaimana saya menjalankan amanah kepimpinan itulah yang paling utama.

“Saya tidak akan sekali-kali berkompromi dalam hal prinsip. Prinsip yang paling utama ialah prihatin kepada rakyat.”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tegas Perdana Menteri, beliau tidak akan sesekali memperdagangkan integriti.

“Satu lagi yang amat penting ialah integriti. Saya tidak akan memperdagangkan integriti saya semata-mata untuk menjaga kedudukan dan pangkat. Yang benar tetap benar, yang batil tetaplah batil,”katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, tumpuan memulih dan merancakkan ekonomi pasca COVID-19 menjadi hala tuju kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Petang tadi, saya bersama-sama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menghadiri Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, yang dianjurkan oleh Persatuan Intelektual Negara.

“Ketika berucap, saya telah mengetengahkan 10 asas penting yang akan menjadi hala tuju Kerajaan PN untuk tempoh masa yang akan datang.

“Asas-asas itu antaranya tumpuan memulih dan merancakkan semula ekonomi pasca COVID-19 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan penggubalan dasar berpaksikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,”katanya

Tambah Muhyiddin, beliau dan kerajaan PN memberikan komitmen untuk melaksanakan Agenda Bumiputera sebagai agenda nasional menerusi Majlis Kemakmuran Bumiputera yang dipengerusikan olehnya.

“Saya juga tekankan tumpuan kepada usaha pendigitalan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, selain penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara untuk memastikan jaminan makanan yang mencukupi.

“Dalam pada itu, saya ulangi komitmen Kerajaan PN untuk membanteras rasuah menerusi Pelan Antirasuah Nasional yang akan menyaksikan reformasi institusi dilaksanakan dengan segera.

“Sektor pendidikan juga akan dipertingkatkan bagi mendepani cabaran baharu, dengan keutamaan diberikan untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran, berpengetahuan dan berpekerti mulia,”katanya.

Jelas Muhyiddin, reformasi dalam sektor kesihatan serta aspek keselamatan dan ketenteraman awam juga akan diberi keutamaan untuk memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

“Saya juga nyatakan bahawa usaha untuk memupuk dan mempertahankan perpaduan kaum dan keharmonian antara masyarakat berbilang agama akan terus dilaksanakan melalui pelbagai program dan dasar.

“Akhir sekali saya serahkan kepada rakyat untuk menilai Kerajaan PN di bawah kepimpinan saya. Saya rasa saya telah melakukan yang terbaik namun rakyatlah yang paling berhak untuk menilai.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.