Isu laptop : lihat dua perspektif

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Tindakan seorang pensyarah kontrak UiTM menghina pelajar daripada keluarga B-40 seperti yang tular ketika ini perlu dilihat dari dua perspektif.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, apabila timbul isu begini, masyarakat perlu berfikir rasional tanpa perlu menyebelahi sesiapa.

“Pertama isu ini perlu dilihat dari dua aspek. Pertama pada guru itu sendiri dan kedua pada pelajar yang rakam dan tularkan.

“Bagi saya kedua-duanya salah. Di sudut pensyarah salah kerana kenyataan yang berbaur penghinaan kepada golongan miskin. Manakala salah di sisi pelajar kerana membesarkan isu yang tidak perlu pun satu Malaysia tahu,”katanya.

Beliau berkata, bagi kes ini, seorang pensyarah sepatutnya memahami kondisi setiap pelajarnya.

“Niat pensyarah itu sebenarnya baik kerana tidak mahu pelajar tersebut ketinggalan. Tetapi apabila beliau menghina pelajar tersebut maka ia sangat tidak wajar

“Mahu tegur secara terbuka tiada masalah, asalkan jangan sesekali menghina. Saya harap isu ini menjadi iktibar kepada semua pihak.

“Di pihak pelajar pula, bagi saya boleh saja laporkan kepada persatuan pelajar atau pengurusan UiTM tanpa viral supaya isu yang timbul diselesaikan dengan harmoni.

“Sikap viralkan guru sendiri jika dibiarkan dibimbangi menjadi budaya di Malaysia hingga guru tidak lagi dihormati,”katanya.

Tambahnya, seburuk mana pun seseorang guru, ia tidak layak diburukkan.

“Ingatlah keberkatan ilmu ada pada guru,”katanya.

Sementara itu Mustaffa berkata, masyarakat Malaysia perlu dididik supaya bijak menilai sumber.

“Apabila tiba satu berita maka siasatlah. Itu yang dituntut dalam agama,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.