Kerajaan negeri lewat bertindak? Sanusi jelaskan perkara yang rakyat wajib tahu

Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Kerajaan negeri mengambil kira pandangan dan kepakaran semua agensi terlibat sebelum membuat satu-satu keputusan dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap maklumat daripada agensi dan jabatan akan dibawa ke meja rundingan.

“Bersabit dengan komen-komen yang sedang dilontarkan di media baru, kerajaan negeri tidak bertindak segera menangani masalah COVID-19 yang melanda Kedah waktu ini.

“Saya ingin membuat penjelasan bahawa cara kerajaan bekerja tidaklah seperti kita sangkakan,”katanya hari ini.

Beliau berkata, setiap maklumat dari agensi dan jabatan akan dibawa ke meja rundingan yang melibatkan semua pihak dan “stakeholders” yang ada di negeri ini.

“Daripada jabatan kesihatan, jabatan pendidikan, pihak berkuasa tempatan, pegawai- pegawai daerah, ketua polis negeri dan agensi-agensi lain yang masih banyak.

“Malam tadi juga kita telah berkumpul lebih kurang 70, 80 orang, ketua-ketua agensi yang ada di negeri ini sama ada agensi Persekutuan mahupun agensi negeri untuk memperhalusi setiap maklumat yang dibentang dalam masyuarat tersebut,” katanya.

Beliau berkata, setiap tindakan akan diambil mengambil kira semua faktor dan pandangan pelbagai pihak berautoriti.

“Selepas mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada semua pihak yang ada kepakaran dalam bidang masing-masing, berdasarkan maklumat-maklumat tersebut kita akan mengesyorkan satu tindakan untuk diambil oleh pihak-pihak yang mempunyai kuasa.

“Contohnya, kuasa untuk menutup sekolah terletak pada kementerian pendidikan, pengumuman berkaitan itu hanya boleh dibuat Menteri Pendidikan atau Menteri Kanan Keselamatan.

“Adapun keputusan yang melibatkan kuasa kerajaan negeri yang diwakili pihak berkuasa tempatan, kita akan umumkan segera untuk diambil tindakan supaya ia berlaku dengan pantas,” katanya.

Bagaimanapun katanya, keputusan yang dibuat selepas mesyuarat adalah bidang kuasa kerajaan negeri dengan segera.

“Contohnya menutup taman-taman, menghadkan sektor peruncitan supaya orang ramai tidak keluar beramai-ramai menyebabkan kesesakan, itu adalah bidang kuasa kerajaan negeri,”katanya.

Terdahulu, pelbagai maklumat tidak sahih di media sosial mengundang kebimbangan kepada sebilangan netizen.

Kebimbangan itu dizahirkan kritikan terhadap kerajaan negeri yang didakwa mereka lambat bertindak.

Rentas7.com/ Foto Upda

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.