Sembilan orang daripada keluarga India positif COVID-19

KUALA KETIL-Sembilan orang daripada satu keluarga India di Tawar disahkan positif COVID-19.

Kluster pertama dikenali Kluster Tawar itu tercetus selepas salah seorang ahli keluarga terbabit menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, upacara itu telah berlangsung dari 31 Julai 2020 hingga 1 Ogos 2020 dan dihadiri kira-kira 30 orang.

“Sembilan daripada kes positif termasuk kes pertama mempunyai sejarah menghadiri upacara sembahyang kematian tersebut.

“Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9113) adalah lelaki warganegara Malaysia yang merupakan seorang peniaga berusia 53 tahun,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu mula mengalami sakit dada serta gejala demam dan telah segera mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 8 Ogos 2020.

“Beliau mula mengalami sakit dada serta gejala demam dan telah segera mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan.

“Saringan COVID-19 dijalankan pada 9 Ogos 2020 dan dikesan positif pada 11 Ogos 2020,”katanya.

Beliau berkata, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

“Sehingga 13 Ogos 2020, 86 kontak rapat beliau telah disaring yang termasuk ahli keluarga, kontak rapat di hospital dan lain-lain kontak.

“Daripada jumlah ini 9 kes dikesan positif COVID-19, 21 negatif dan 56 masih menunggu keputusan. Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan.

“Langkah langkah pencegahan dan pembendungan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di lokasi lokasi yang dikenalpasti. Punca jangkitan masih di dalam siasatan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.