Cuba letupkan bot APMM, nelayan Vietnam ditembak mati

Bot nelayan Vietnam bertindak agresif kepada bot APMM

KUALA LUMPUR-Nelayan Vietnam tekad untuk memusnahkan bot anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan membaling bom buatan sendiri sebelum tembakan terpaksa dilepaskan.

Operasi penahanan dua bot yang dinaiki sekumpulan 19 nelayan Vietnam berakhir dengan salah seorang daripadanya maut.

Ketua Pengarah, Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, salah seorang nelayan tersebut maut semasa proses tangkapan oleh Bot Penyelamat 7 pada jarak kira-kira 81 batu nautika atau 150 kilometer daripada Muara Tok Bali pada semalam.

“Saya mengesahkan kejadian berlaku di luar Laut Wilayah (melepasi 12 batu nautika daripada garis pangkal) tetapi masih berada di dalam Zon Maritim Malaysia,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, anggota penguatkuasa Maritim Malaysia terlebih dahulu telah mematuhi ‘Rules Of Engagement’ penggunaan senjata api dengan melepaskan tembakan amaran.

Jelasnya, tindakan itu tidak diendahkan oleh kru bot nelayan Vietnam terlibat.

“Mereka seterusnya menyerang dengan membaling molotov cocktail dan senjata keras seperti batang besi, bongkah kayu besar dan spanar ke atas bot Penyelamat 7 yang boleh mengancam nyawa penguat kuasa dan harta kerajaan.

“Selanjutnya, bot nelayan terbabit bertindak lebih agresif dengan merempuh Bot Penyelamat 7 menyebabkan kru bot Maritim Malaysia tiada pilihan dalam usaha mempertahankan diri, nyawa dan aset dengan melepaskan tembakan ke arah bot nelayan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, rempuhan bot nelayan Vietnam telah mengakibatkan bahagian hadapan kanan bot Penyelamat 7 remuk.

Mohd Zubil

“Hasil siasatan awal mendapati terdapat beberapa senjata merbahaya yang dilemparkan telah mengenai badan dan tingkap cermin bot Penyelamat 7 telah pecah.

“Manakala, di atas bot nelayan Vietnam tersebut didapati beberapa senjata berbahaya disimpan bersama sejumlah bungkusan plastik bom molotov cocktail di dalam beberapa kotak penyimpanan ikan seolah-olah mereka telah membuat persediaan awal untuk melakukan tindakan ofensif apabila ditahan oleh agensi penguat kuasa Malaysia,” katanya.

Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia mengambil perhatian serius akan tindakan ganas dan melampau nelayan-nelayan Vietnam yang boleh memudaratkan nyawa penguatkuasa dan harta kerajaan Malaysia.

“Berdasarkan Seksyen 7 (3) Akta APMM 2004 (Akta 633), Maritim Malaysia mempunyai kuasa penuh untuk menyiasat mana-mana kesalahan di bawah mana-mana Undang-Undang Persekutuan yang terpakai di Zon Maritim Malaysia

“Dalam hal ini, kejadian tembakan berlaku dalam Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh kepada penguat kuasa dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Manakala, pencerobohan bot nelayan asing akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/1963.

“Siasatan telus akan dilakukan sewajarnya ke atas kejadian ini dan Maritim Malaysia akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta SOP sedia ada bagi mengawal perairan negara daripada dicerobohi oleh nelayan asing,” katanya

Dalam pada itu beliau berkata, jumlah tangkapan nelayan yang menceroboh perairan negara sejak 24 Jun lalu sehingga kini adalah 43 bot berjaya ditahan dengan jumlah kru Vietnam yang berjaya ditangkap adalah 487 orang.

“Manakala menerusi operasi bersepadu Op Naga yang telah dilancarkan pada April 2019 sehingga kini, Maritim Malaysia telah melakukan tangkapan sebanyak 135 bot nelayan asing dengan jumlah kru asing yang ditahan seramai 1411 orang,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.