PUTRA tuntut Syed Saddiq mohon maaf kepada ATM, polis

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menuntut Syed Saddiq Abd Rahman memohon maaf kepada semua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis apabila mengeluarkan kenyataan “membela” komunis.

Ketua Penyelaras PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, bekas menteri Belia dan Sukan itu dalam satu portal berita sanggup mempertahankan pemimpin DAP dan menganggap sentimen komunis hanyalah sebagai momokan Melayu, karya fiksyen dan kisah dongeng.

“Amatlah malang bagi kita orang Melayu apabila mempunyai saudara Melayu seperti ini.

“Atau dalam darahnya tidak mengalir pun setitis darah perjuangan Melayu?,”katanya hari ini.

Tambahnya, pengaruh komunis tetap ada di negara ini walaupun Perjanjian Damai Hatyai 1989 antara Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya (PKM) telah dimaterai.

“Komunis hanya membubarkan PKM dan meletakkan senjata. Ia tidak bermakna perjuangan komunis secara keseluruhan telah lumpuh.

“Saya fikir Syed Saddiq perlu kembali ke alam sekolah untuk belajar semula mata pelajaran sejarah,”katanya.

Beliau berkata, hanya orang yang akal pendek akan mendakwa sentimen komunis sebagai momokan dan fiksyen.

“Kenyataan Syed Saddiq seolah-olah menafikan perjuangan wira ATM dan PDRM. PUTRA tuntut budak hingusan ini memohon maaf kepada semua anggota pasukan keselamatan di Malaysia.

“Jika mahu jadi tali barut kepada komunis, kita cadangkan beliau berpindah ke tanah besar China. Di sana kamu boleh bersama perjuangan komunis sampai mati,”katanya.

Mustafa berkata, sejarah DAP dan komunis tidak akan dapat dipisahkan dan akan terpahat dalam lipatan sejarah sampai bila-bila.

“Namun masih ada yang sanggup menjaga hati keturunan komunis, pro komunis. Mereka inilah tali barut sebenar kepada bangsa Melayu,”katanya.

Beliau berkata, pemikiran dan sikap yang selesa dengan perjuangan komunis jika tidak dikawal akan memberikan ruang kepada agenda komunis untuk bertapak di negara ini.

Syed Saddiq dalam sebuah portal berita pada 14 Ogos menyamakan ayat “komunis bersekongkol dengan negara asing dan mencabul hak Melayu” sebagai sebuah fiksyen dan momokan Melayu.

Beliau juga menganggap keseluruhan ayat berkenaan sebagai satu kisang dongeng yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.